Isu sijil halal: Polis siasat kenyataan Teresa Kok

Iklan
Razarudin.

KUALA LUMPUR - Polis menerima lima laporan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkait isu sijil halal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Iklan
Iklan

"Prosedur operasi standard (SOP) siasatan babit 3R (kaum, agama dan institusi raja) akan dijalankan setelah laporan polis diterima.

"Semua saksi juga akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Razarudin berkata, laporan yang diterima polis itu berikutan rasa ketidakpuasan hati individu termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Ujar beliau, walaupun kebebasan memberikan pendapat itu dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan, namun terdapat had yang perlu dipatuhi.

Iklan

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang akhirnya boleh mencetuskan kegentaran awam dan mengapi-apikan antara kaum.

"Kenyataan yang bersifat sedemikian juga merupakan satu kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan iaitu kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam. PDRM juga menyeru semua masyarakat untuk hayatilah prinsip Rukun Negara," ujarnya.

Sebelum ini Teresa dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Menurutnya, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.