SUBANG JAYA - Pengunjung di Taman Tasik Subang Ria dikejutkan dengan kehadiran beberapa ekor memerang di kawasan berkenaan dipercayai spesies memerang licin atau 'smooth coated otters'.
Memetik laporan portal SJ Echo, rata-rata pengunjung taman rekreasi berkenaan mengakui pernah melihat kelibat haiwan itu bermain dan mencari makan di kawasan tasik itu.
Penduduk tempatan, Yap Weng Fatt berkata, haiwan itu pertama kali dilihat berkeliaran di sekitar tasik berkenaan sejak dia mula mengunjungi taman rekreasi itu beberapa tahun lalu.
"Ini dapat dibuktikan berdasarkan rakaman video yang diambil memaparkan memerang berkeliaran di tasik berkenaan," katanya.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor menjelaskan tiada masalah membiarkan memerang bermain di kawasan tersebut selagi ia tidak mewujudkan konflik dalam kalangan masyarakat.
Pengarahnya, Haidar Khan Mokbolhasan berkata, kakitangan Perhilitan sudah diminta untuk meninjau tasik berkenaan berikutan maklumat kewujudan spesies tersebut selain turut meminta pengawal keselamatan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan ke atas memerang.
"Kalau dah ada konflik contohnya seperti haiwan itu masuk ke kediaman orang atau makan ikan peliharaan penduduk, barulah kita akan ambil tindakan selanjutnya.
"Kalau boleh, kita tak payah usik (memerang ini) sebab hidupan liar mempunyai nilai estetik yang tersendiri," katanya.
Menurutnya, pengunjung tasik berkenaan diharapkan dapat bersama-sama menjaga kebersihan di taman rekreasi itu yang kini menjadi tempat bermain buat kumpulan memerang berkenaan.
Haidar berkata, pihaknya juga meminta orang ramai agar tidak mengusik atau mengganggu memerang itu yang menjadikan tasik tersebut sebagai sebahagian daripada habitatnya.
"Kebiasaannya, jika memerang suka bermain di tasik itu, bermakna kawasan tersebut bersih. Jadi saya minta supaya semua pihak tidak mengganggu haiwan terlindung ini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama antara komuniti dan syarikat korporat atau persendirian untuk terlibat dalam program-program konservasi hidupan liar.
"Tasik itu sebenarnya berada di bawah pengurusan syarikat korporat, jadi jabatan sentiasa mengalu-alukan kerjasama komuniti dan syarikat-syarikat ini dalam program konservasi hidupan liar," katanya.
Memerang dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun.