SHAH ALAM - Peruntukan undang-undang sedia ada bagi menghukum individu yang didapati menghina institusi raja di negara ini dilihat tidak mampu untuk mendidik rakyat supaya menghormati sistem raja berperlembagaan.
Profesor Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, hukuman yang lebih berat adalah wajar bagi tujuan untuk mendidik namun tidak perlu terlalu ekstrem seperti yang diamalkan di Thailand.
"Berdasarkan Akta Hasutan peruntukan bagi mereka yang menghasut untuk kesalahan pertama adalah denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
"Jika ditambah sedikit berat hukuman berbanding Akta Hasutan bagi tujuan mendidik, saya rasa ia wajar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong hari ini mengenai hasrat kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu bagi melindungi kesucian institusi diraja negara daripada dihina dan diserang pihak yang tidak bertanggungjawab.
Jelas Nik Ahmad Kamal, bagi memastikan undang-undang baharu itu lebih berkesan, pihak kerajaan perlu membuat perincian yang lebih berkesan mengenai perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan terhadap institusi raja.
"Maknanya undang-undang baharu ini menggabungkan akta sedia ada dan meningkatkan peruntukan bagi menangani kritikan melampau orang ramai terhadap raja dan sultan.
"Cadangan saya adalah Akta Hasutan itu menjadi penanda aras kepada undang-undang baharu ini. Kalau kita lihat dalam Akta Hasutan ia agak umum (berkaitan penghinaan terhadap institusi raja)," ujar beliau.
Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, perincian mengenai perkataan terhadap raja dan sultan perlu ada dalam peruntukan akta tersebut kerana kemungkinan ada pihak yang benar-benar ikhlas mahu menegur bagi tujuan menambahbaik.
"Orang awam khususnya rakyat mungkin ada niat baik dan bila ada undang-undang jelas, mereka akan tahu batas dan tidak melampaui batas sehingga menghina.
"Undang-undang baharu ini wajar dalam keadaan sekarang dengan alasan terlalu banyak komen-komen jelik di media sosial," katanya.