'Permohonan biasiswa anak Azis Jamman pun saya luluskan' - Hajiji

Iklan
Hajiji memukul gong simbolik perasmian Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman Tahun 2024 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran.

TUARAN - Tidak sehaluan dalam politik, namun kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus mengambil pendirian untuk bersikap adil terhadap semua pihak di negeri ini termasuk pembangkang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun pelbagai kritikan dan fitnah dilemparkan terhadap dirinya serta kerajaan pimpinannya, beliau berpendirian keadilan tetap menjadi pegangannya.

Iklan
Iklan

Atas prinsip itu juga Hajiji yang juga Pengerusi GRS berusaha sebaik mungkin memberikan layanan yang adil kepada semua rakyat negeri ini tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan agama.

Malah, beliau mendedahkan bahawa ada pemimpin pembangkang yang membuat permohonan biasiswa daripada kerajaan negeri untuk anak mereka turut diluluskan atas dasar prihatin terhadap anak-anak Sabah.

Iklan

"(Datuk) Azis Jamman (Ketua Penerangan Parti Warisan) punya permohonan biasiswa untuk anaknya pun saya luluskan...apa lagi yang kita tidak buat.

Hajiji (dua dari kanan) bersama pemimpin Gagasan Rakyat Bahagian Tuaran semasa Mesyuarat Tahunan bahagian itu di Dewan Seri Sulaman, Tuaran.

"Saya adil apabila dia dan isteri datang jumpa di pejabat. Kerana keprihatinan saya, anak-anak itu mesti ditolong dan kita luluskan biasiswa untuk dia.

Iklan

"Saya tidak pernah fikir hanya untuk ahli parti saya saja, tapi untuk semua. Ada juga anak pemimpin pembangkang lain yang mendapat kemudahan, kita bagi. Saya tidak sanggup (mengabaikannya). Kita tiada balas dendam, kita tidak tekan sesiapa walaupun kita adalah kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian 2024 Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulaman di Dewan Seri Sulaman di sini pada Ahad.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, atas prinsip keadilan itu juga beliau mahu pemimpin di peringkat akar umbi seperti ketua cawangan, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga bertindak dengan adil.

"Mana-mana rakyat kita yang perlu bantuan di kampung, jangan pilih kasih, bagi maklumat yang betul kepada kerajaan atau kepada wakil rakyat.

"Ini prinsip saya pegang selama 35 tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, tanyalah kawan-kawan di sini. Sebagai manusia, ramai juga yang tidak suka saya, tapi itu tidak mengapa, saya tidak simpan dalam hati," katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan kritikan pembangkang terhadap kerajaan pimpinannya ketika ini sebagai tindakan yang sengaja 'membutakan mata' kerana enggan mengakui kesilapan mereka ketika menjadi kerajaan sebelum ini.

Beliau turut memberi contoh mengenai isu air dan jalan raya yang sering diperkatakan pembangkang ketika ini bukan masalah baharu sebaliknya ia diwarisi daripada kerajaan sebelum ini berikutan beberapa tindakan tidak wajar yang dilakukan mereka.

Katanya lagi, ini termasuk juga menukar syarikat konsesi sedia ada dengan syarikat lantikan mereka hingga kerajaan terpaksa membayar ratusan juta pampasan berikutan penamatan konsesi syarikat sebelum ini.

"Mereka sudah diberi kepercayaan, tapi apa mereka buat dua tahun setengah memerintah melainkan membalas dendam dengan membatalkan kontrak yang dilulus kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Akibat pembatalan yang mereka buat itu, kerajaan terpaksa bayar beratus juta kepada konsesi ini. Mereka lantik kontraktor baharu dan itulah jadi tidak menentu. Contohnya, air paip masin di Sandakan, itu kontraktor lantikan mereka

"Tapi dalam media sosial kata GRS gagal. Siapa sebenarnya yang gagal? Merekalah yang gagal. Sebab itu ketika mereka bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka kalah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan pembangkang hanya pandai bercakap besar dan menyalahkan kerajaan sekarang tanpa melihat apa yang dilakukan sebelum ini.

Tambahnya lagi, keinginan pembangkang untuk kembali menjadi kerajaan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang hanyalah mimpi kerana beliau yakin rakyat Sabah bijak menilai untuk memilih parti atau gabungan parti yang mampu membawa Sabah ke arah kemajuan.