Final Pestabola Merdeka: Hujan tak halang penyokong bersama Harimau Malaya

Iklan
Keadaan mendung dan hujan rintik tidak melemahkan semangat penyokong skuad Harimau Malaya yang hadir menyaksikan perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 antara Malaysia dan Lubnan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 9 malam ini. Foto Bernama

KEADAAN mendung dan gerimis tidak melemahkan semangat penyokong skuad Harimau Malaya yang hadir menyaksikan perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 antara Malaysia dan Lubnan di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, 9 malam ini.

Setakat 7 malam, tinjauan Bernama mendapati pekarangan gelanggang keramat pasukan negara itu sudah meriah dengan kehadiran orang ramai yang mengenakan jersi berwarna hitam dan kuning, selain pelbagai gerai jualan makanan serta cenderahati menarik yang mencuri perhatian pengunjung.

Iklan
Iklan

Jumlah kehadiran penyokong yang tinggi boleh memacu kejayaan pasukan negara dengan aksi malam ini merupakan peluang skuad bimbingan Pau Marti Vicente untuk membantu Malaysia menjulang kejuaraan Pestabola Merdeka yang pertama sejak 2013.

Dijangka kehadiran penyokong mampu mencecah lebih 10,000 berdasarkan sambutan orang ramai dalam beberapa hari kebelakangan ini, selain faktor hari bercuti berbanding ketika Malaysia menewaskan Filipina 2-1 pada aksi separuh akhir di sini, Rabu lepas.

Iklan

Sebelum ini, kumpulan penyokong tegar pasukan negara Ultras Malaya bertindak memboikot saingan Pestabola Merdeka 2024 dan ia dibuktikan ketika aksi menentang Filipina.

Boikot dirancang Ultras Malaya itu berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap pelbagai isu termasuk berkaitan pengurusan pasukan kebangsaan, dakwaan kepincangan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan perlawanan Liga Malaysia.

Iklan

Sebagai rekod, Ultras Malaya pernah memboikot perlawanan akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 antara Malaysia dan Thailand sebagai solidariti kepada penyokong yang menjadi mangsa kegagalan sistem penjualan tiket aksi final berkenaan.

Sementara itu, tiada pemakluman rasmi jumlah tiket perlawanan final yang sudah dijual sama seperti bagi aksi separuh akhir sebelum ini.

Terdahulu, Tajikistan menamatkan kempen kejohanan edisi ke-43 itu di tempat ketiga apabila menumpaskan Filipina 4-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 di sini. - Bernama