17 pasangan pengantin dirai

Iklan
Nur Idayu (kanan) mengiringi Pengarah Urusan D'Aman Residensi Sdn Bhd, Datuk Azizul Kama Abd Aziz beramah mesra dengan pasangan pengantin yang diraikan pada Majlis Nikah Kahwin Ramai-ramai hari ini.

IPOH - Seramai 17 pasangan pengantin baharu diraikan pada Majlis Nikah Kahwin Ramai-ramai Perak di Taman Rekreasi Gunung Lang di sini hari ini.

Majlis anjuran syarikat Wahyu Catering & Event Planner dilaksanakan bersama Persatuan Sokongan dan Kesedaran Kanser Wanita Penyayang Perak serta Jabatan Agama Islam Perak.

Iklan
Iklan

Penganjurnya, Nur Idayu Zainal Rashid, 34, berkata, program itu bertujuan membantu pasangan khususnya golongan muda membina rumah tangga dan melaksanakan majlis perkahwinan mengikut syariat Islam.

"Saya gembira dapat membantu mengurangkan beban kewangan ditanggung pasangan dan keluarga untuk memudahkan urusan perkahwinan bermula dari majlis nikah hingga persandingan.

Iklan

"Dengan bayaran RM3,700, pasangan pengantin memperoleh semua kemudahan seperti sewaan pakaian, jurufoto, cenderahati, majlis resepsi serta hadiah-hadiah yang disediakan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Menurutnya, busana pengantin telah dijahit oleh ahli Persatuan Sokongan dan Kesedaran Kanser Wanita Penyayang Perak untuk digayakan oleh setiap pasangan pada majlis itu.

Iklan

"Setiap pakaian dijahit oleh ahli persatuan. Ia merupakan hasil aktiviti persatuan itu untuk memeriahkan majlis perkahwinan ini.

"Hasilnya kita dapat dilihat apabila semua busana yang dijahit, cantik dipakai oleh pasangan mempelai," katanya.

Seramai 17 pasangan pengantin diraikan dalam Majlis Nikah Kahwin Ramai-ramai Perak hari ini.

Sementara itu, Nor Syafikah Nasaruddin, 19, berkata, dia bersama pasangan, Zulfitri Zainon, 22, memilih menyertai program itu kerana mudah dan menjimatkan perbelanjaan apabila semua keperluan termasuk jamuan disediakan.

"Biasanya persiapan mengambil masa yang lama malah, kami merancang untuk melangsungkan perkahwinan sama tahun depan atau tahun 2022. Lihat sahaja program ini di Facebook, saya terus setuju.

"Keluarga pun menerima baik cadangan kami untuk terlibat dalam majlis perkahwinan seperti ini, lebih meriah dan menjimatkan tanpa perlu fikirkan apa-apa," katanya.

Nur Alia Nordin, 24, yang bekerja sebagai operator berkata, dia dan pasangannya, Safarudin Abdullah, 34, memilih program itu setelah melihat kemeriahan majlis yang disertai rakannya tahun lalu.

"Saya menghadiri perkahwinan rakan pada majlis seperti ini tahun lalu, dan saya lihat ia begitu meriah dan berbaloi.

"Keluarga kedua-dua pihak pun telah bersetuju. Majlis hari ini berjalan sangat lancar dan yang lebih penting, ia menjimatkan perbelanjaan kami," katanya.