Tiga isu jenayah diberi penekanan dalam Kod Tatalaku media sosial - Fahmi

Iklan
Fahmi berucap pada Program Vaksinasi Percuma Lembah Pantai di PPR Kerinchi hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jenayah penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah pengantunan atau seksual terhadap kanak-kanak merupakan antara perkara yang diberi tumpuan dalam membangunkan Kod Tatalaku platform media sosial yang dijangka siap bulan depan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan maklumat pihak polis, ketiga-tiga jenayah terbabit telah beralih ke media sosial dan platform media berkenaan tidak menangani jenayah-jenayah itu secara proaktif.

Iklan
Iklan

"Kod Tatalaku dilakukan secara menyeluruh, kita ada tiga isu besar yang kita lihat masalah atau jenayah yang telah berhijrah ke media sosial.

"Hal ini dimaklumkan kepada saya oleh pihak Polis Diraja Malaysia khususnya Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Vaksinasi Percuma di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam di sini hari ini.

Iklan

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, Kod Tatalaku menjadi garis panduan mengurus platform media sosial bagi memastikan pengendali mematuhi undang-undang negara dengan jelas termasuk tindakan yang boleh diambil terhadap mereka.

Fahmi berkata, sesi libat urus telah dijalankan pada 3 September lepas dan akan diteruskan bagi membincangkan garis panduan kod tatalaku dan ia perlu dipersetujui semua pihak sebelum pelesenan perkhidmatan media sosial dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun hadapan.

Iklan

"Memang sebelum ini dalam pertemuan membincangkan sejumlah masalah sama ada melibatkan pedofilia, pengantunan dan yang seumpama, tetapi sering kali kita dapati kerjasama diberikan tidak pada tahap memuaskan.

"Sebagai contoh, ada mengadu dalam media sosial bila mereka memuat naik gambar dan video anak-anak, video mereka diturunkan tetapi ada sesetengah akaun lain letakkan wajah bukan anak mereka sendiri boleh mencapai beratus ribu pengikut dan tontonan, jadi saya harap mereka (platform) sedia bantu dan beri kerjasama," katanya.

Fahmi berkata, Kod Tatalaku itu hanya meliputi perkara berkaitan media sosial dan pada masa ini kandungan berkaitan kanak-kanak mengguna pakai Akta Kanak-kanak 2001.

"Jadi, saya harap semua pihak yang mungkin ingin menghasilkan kandungan melibatkan kanak-kanak mengambil maklum dan prihatin tentang Akta Kanak-kanak," katanya.

Jumaat lepas, Fahmi dilaporkan berkata, Kod Tatalaku yang sedang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan berfungsi sebagai panduan kepada platform media sosial agar tindakan boleh dikenakan kepada pengguna sekiranya mereka melanggar kod berkenaan.

Terdahulu pada program itu, vaksin cacar air diberikan kepada 400 penerima manakala vaksin papilomavirus manusia (HPV) diberi kepada 100 penerima secara percuma bagi mencegah kanser serviks. - Bernama