HUJUNG minggu lalu Merak Jalanan bertemu dengan kawan lama, lepak santai di sebuah restoran sambil berkongsi pelbagai kisah lalu dan semasa.
Sambil bercerita, Merak Jalanan turut memerhatikan gelagat pekerja di restoran tersebut. Sesetengahnya ada yang tangkas dan cerdas dalam melaksanakan tugasan, namun ada juga yang lemah dan melakukan kerja ala kadar sahaja.
Terlintas di fikiran Merak Jalanan, apakah kebajikan mereka diabaikan majikan sehingga sebegitu rupa?
Namun tidaklah semuanya begitu, hanya seorang dua sahaja yang bersikap acuh tak acuh, pekerja lain dilihat bekerja dengan bagus.
Dalam merenung kepada sikap pekerja di restoran tersebut, Merak Jalanan kurang fokus dengan borak bersama kawan lama tadi, sehingga ditegurnya pula kita.
"Hai kawan, jauh betul termenungnya tadi. Teringat kekasih lama ke?” ketawanya.
Ujarnya lagi, di pejabatnya ada seorang dua pekerja yang tidak fokus pada kerja dan asyik perlu diberi perhatian.
Jenuh membebel dan diberi peringatan. Kadangkala ada perubahan, namun ia hanya sementara sahaja dan kembali seperti asal kemudiannya.
Merak Jalanan terfikir, bukan di restoran tersebut sahaja ada pekerja yang berperangai acuh tak acuh, di pejabat pun wujud golongan tersebut.
Bagaimana mungkin kita semua dalam satu organisasi mahu mendapatkan keputusan terbaik, namun tidak semua bahagian berfungsi dengan terbaik.
Sebagai contoh, mana mungkin pelari pecut terakhir dalam acara lari berganti-ganti menamatkan lariannya dengan cemerlang dan mendapatkan pingat emas buat pasukan, apabila ada pelari sebelumnya hanya berlari-lari anak dan tidak melepaskan baton dengan baik kepadanya?
Begitulah juga di alam pekerjaan ini. Sebagai 'pelari awal', perlu membuat larian terbaik dan melepaskan baton dalam keadaan baik kepada pelari seterusnya, barulah hasilnya cemerlang.