SETIAP tahun Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) diadakan bagi menghargai prestasi kerja dan mengiktiraf sumbangan penjawat awam yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan masing-masing.
Ia dianugerahkan kepada semua pegawai perkhidmatan awam sama ada dilantik secara tetap, sementara atau kontrak dan telah berkhidmat genap setahun pada hari terakhir tahun penilaian untuk menerima anugerah tersebut.
Golongan yang layak menerima anugerah berprestij ini termasuklah warga pendidik selepas asas pertimbangan dengan memperoleh markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) sebanyak 85 peratus ke atas serta bebas daripada tindakan tatatertib dalam tahun penilaian.
Ironinya, sejak akhir-akhir ini pelbagai cerita kurang baik dikaitkan dengan pencalonan APC membabitkan golongan guru.
Menerusi hantaran dimuat naik oleh bekas cikgu, Mohd Fadli Saleh mendedahkan kekecewaan seorang rakan pendidik yang tidak berpeluang menerima anugerah tersebut meskipun berkelayakan.
Menurut pendedahan itu, guru yang dinyatakan sememangnya layak disebabkan oleh markah prestasi tinggi ditambah pula dengan sikap dedikasi dalam merangka dan menjayakan pelbagai program namun tidak dicalonkan atas alasan baru berkhidmat.
Diibaratkan arang habis besi binasa, segala usaha keras dilakukan demi secebis penghargaan dicantas begitu sahaja oleh golongan yang telah lama berkhidmat tetapi belum pernah dicalonkan menerima APC tersebut.
Malah lebih memeranjatkan, situasi itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya acap kali terjadi di seluruh negara melibatkan guru yang layak diberi pengiktirafan namun ‘terlepas’ untuk menerimanya.
Hanya disebabkan oleh baru bertugas sebagai guru walaupun berkelayakan tetapi segalanya perlu dilepaskan kepada mereka yang telah lama meskipun mempunyai prestasi tidak cemerlang.
Isu ini seakan menjentik hati para guru yang cemerlang dalam perkhidmatan dan layak menerima APC namun terpaksa memejamkan mata demi senior dan ia sedikit sebanyak meruntuhkan semangat mereka dalam dunia pendidikan.
Cuba bayangkan jika tahun ini seorang guru berkelayakan yang banyak membantu program serta mengangkat nama baik sekolah dengan pelbagai aktiviti sehingga mengorbankan duit poket dan masa tetapi segalanya tidak diiktiraf kerana masih ada sesetengah pentadbir sekolah menggunakan pendekatan senioriti dalam pemilihan APC.
Jika dilihat di ruangan komen di media sosial rata-ratanya berpendapat adalah wajar mewujudkan anugerah lain seperti Anugerah Guru Berpengalaman khususnya buat mereka yang sudah lama berkhidmat dalam bidang perguruan.
Cadangan mewujudkan satu lagi anugerah kepada guru yang telah lama berkhidmat mungkin perlu diteliti dan dinilai semula agar APC ini dapat diberikan kepada mereka yang layak dan cemerlang sesuai dengan nama Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.
Lama tidak semestinya cemerlang antara alasan utama mengapa APC seharusnya diberikan kepada guru berkelayakan kerana terdapat juga sesetengah cikgu senior yang hanya ‘goyang kaki’ apabila tiba masa kerja perlu dilakukan.
"Ada guru baru yang tidak cemerlang dan guru lama yang sentiasa cemerlang. Ada guru baru tetapi cemerlang dan ada guru lama tetapi tidak pernah cemerlang.”
Antara komen tepat bagi menghuraikan isu sensitif ini kerana ramai mula beranggapan APC adalah suatu anugerah atas dasar giliran dan dipilih berdasarkan kronisme dan nepotisme sedangkan ada guru-guru lain yang mendapat markah lebih tinggi pada tahun berkenaan.
Tidak kisahlah sudah lama atau baru berkhidmat asalkan sepanjang menjalani tugas sebagai pendidik mereka telah melaksanakan kerja dengan berdedikasi dan cemerlang yang melayakkan mereka menerima anugerah tersebut.
* Azleenda Sahaludin ialah wartawan Sinar Bestari