BINTANG sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo menampilkan aura pemusnahnya apabila jaringan minit ke-88, berjaya menumbangkan Scotland dalam perlawanan Kumpulan A Liga Negara-Negara di Estádio do Sport Lisboa e Benfica pada Isnin.
Ronaldo yang beraksi untuk kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr ditampilkan pada separuh masa kedua ternyata dalam kelas tersendiri apabila meledak gol ke-901 dalam kariernya hasil sentuhan Nuno Mendes pada minit ke-88.
Tuan rumah kendalian Roberto Martínez sebelum itu ketinggalan hasil tandukan bintang baharu kelab Serie A Itali, Napoli, Scott Francis McTominay minit ketujuh.
Bagaimanapun anak buah Steve Clarke gagal mempertahankan kedudukan itu setelah rembatan minit ke-54 bintang Manchester United, Bruno Fernandes mengikat perlawanan.
Sementara itu, Martinez kemudian mendedahkan bahawa keputusan untuk tidak menyenaraikan penyerang berusia 39 tahun berkenaan dalam kesebelasan utama adalah pilihan Ronaldo.
"Dia adalah aset kepada pasukan bola sepak kebangsaan Portugal. Apabila dia masuk, dan pasukan memerlukan gol, Cris akan memberi sepenuh tenaga dan perasaan kepada penyokong-penyokong," kata Martinez.
Portugal mendahului Kumpulan A dengan enam mata selepas turut menewaskan Croatia dalam perlawanan pembukaan pada 6 September lalu.
Sementara itu, Scotland mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 2-3 kepada Poland juga 6 September lalu.
LIGA NEGARA-NEGARA
Keputusan
Luxembourg 0-1 Belarus
Bulgaria 1-0 Ireland Utara
Denmark 2-0 Serbia
Slovakia 2-0 Azerbaijan
Gibraltar 2-2 Liechtenstein
Portugal 2-1 Scotland
Switzerland 1-4 Sepanyol
Sweden 3-0 Estonia
Croatia 1-0 Poland