SHAH ALAM - Pasukan peninjau Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China selamat tiba di Wuhan pada kira-kira jam 3.30 pagi tadi selepas menempuh perjalanan darat selama hampir 13 jam dari ibu negara tersebut.
Difahamkan, kehadiran pasukan tersebut bertujuan untuk membantu menyelaras proses membawa pulang kira-kira 120 orang rakyat Malaysia di wilayah Hubei berikutan penularan wabak Koronavirus Wuhan.
Menerusi laporan Astro Awani, Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin ketika dihubungi berkata, pasukannya masih belum menerima sebarang kemas kini dan belum berkesempatan membuat tinjauan menyeluruh tentang keadaan rakyat Malaysia kerana waktu di sana masih awal pagi.
Pasukan terdiri daripada enam pegawai kedutaan itu ditugaskan untuk mengumpul dan mengemaskini senarai rakyat Malaysia yang berada di wilayah itu.
Mereka juga akan berurusan dengan pihak berkuasa tempatan bagi melancarkan proses penghantaran pulang.
Nushirwan turut memaklumkan butiran mengenai tarikh penerbangan pulang itu akan diumumkan kerajaan Malaysia setelah persetujuan dengan kerajaan China dicapai.
ARTIKEL BERKAITAN: Misi bawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan berlepas esok: Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata, misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dari China susulan penularan wabak koronavirus akan berlepas esok.
Menurutnya, seramai 132 orang akan dibawa pulang di mana seramai 108 orang rakyat Malaysia dan 24 orang bukan warganegara yang terdiri daripada pasangan serta anak yang mendaftar dengan Kedutaan Malaysia untuk dibawa pulang dari Wuhan.