SEREMBAN - Padah membenarkan anak berusia 10 tahun memandu kereta, seorang wanita didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret Trafik di sini pada Isnin.
Majistret, Marlissa Mohd Fahmy menjatuhkan hukuman itu terhadap wanita berusia 46 tahun berkenaan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Beliau turut memerintahkan hukuman penjara tujuh hari dikenakan sekiranya wanita itu gagal membayar denda tersebut.
Sebelum menjatuhkan hukuman berkenaan, beliau turut memaklumkan yang kesalahan dilakukan pekerja pembersihan itu adalah serius.
Mengikut pertuduhan, orang kena saman (OKS) sebagai pemilik kenderaan jenis Toyota Corolla telah membenarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun memandu kenderaan berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan pada 3 September lalu, kira-kira jam 9 malam di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di Seremban.
Berikutan Itu, OKS telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama.
Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Katanya, suaminya pula sedang sakit dan mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah.
Timbalan Pendakwa Raya, M Pusppa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada OKS dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.
Ujarnya, OKS sebagai pemilik kenderaan telah lalai dengan tanggungjawabnya untuk membuat pemantauan dan pengawasan terhadap anaknya.
"Kes seperti ini bukan kali pertama berlaku di negara kita dan perbuatan ini sangat membahayakan kerana dalam kes ini OKS telah membenarkan kanak-kanak membawa kenderaan dan kanak-kanak itu turut membawa anak jiran ketika kejadian.
"Tindakannya bukan saja membahayakan diri sendiri, malah turut membahayakan nyawa orang lain," katanya.
Tambahnya, perbuatan ibu bapa atau penjaga membenarkan kanak-kanak bawah umur membawa kenderaan harus dipandang serius.
Ini kerana katanya, banyak peringatan telah diberi pihak berkuasa, namun perkara seumpama itu masih berlaku di negara ini.
Bagaimanapun wanita itu telah membayar denda berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikesan memandu kereta milik keluarganya hingga terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di sini.
Kereta terbabit turut dinaiki seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun dan siasatan awal mendapati mereka dari arah pangsapuri Arowana Impian ke Taman Arowana Impian.
Namun sebaik sampai ke lokasi kejadian, kereta dipandu kanak-kanak itu terbabas ketika melalui selekoh sebelum merempuh sebuah van yang diparkir di bahu jalan.