KPM pantau situasi pencemaran bau kimia di Johor Bahru

Iklan
Fadhlina (tiga dari kanan) merasmikan Sambutan Hari TVET peringkat kebangsaan di Dewan SMK Seri Perdana Kluang pada Isnin.

KLUANG - Kementerian Pendidikan (KPM) memantau rapi keadaan semasa di sekolah yang terletak di lokasi berlakunya pencemaran bau kimia di bandar raya Johor Bahru.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penutupan sekolah atau menghadkan aktiviti luar akan dilakukan selepas mendapat pandangan serta nasihat daripada agensi terlibat terutama Kementerian Kesihatan (KKM).

Iklan
Iklan

"Kita akan dapatkan nasihat dari agensi berkaitan dari masa ke masa seperti KKM bagi memastikan pencemaran bau yang berlaku terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari TVET peringkat kebangsaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di sini, pada Isnin.

Iklan

Hadir sama Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin.

Selasa lalu, beberapa kawasan di bandar raya Johor Bahru dilanda pencemaran bau kimia yang menyebabkan penduduk khususnya di Kampung Melayu Pandan merasa loya dan pening.

Iklan

Situasi sama turut dilaporkan berlaku di tiga taman perumahan di Johor Bahru iaitu Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesan tahap gas ammonia yang luar biasa tinggi di Sungai Pandan dan kawasan sekitar Kampung Melayu Pandan pada Rabu.

Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang dilaporkan pada Rabu turut mengarahkan semua sekolah di bandar ini menangguhkan aktiviti luar sebagai langkah berjaga-jaga susulan bacaan gas ammonia tinggi di sekitar Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan.

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, notis yang dikeluarkan itu sebagai langkah berjaga-jaga yang diambil untuk meningkatkan kewaspadaan.