CADANGAN mewajibkan pengendali makanan dan restoran mendapatkan sijil halal terus hangat dibincangkan pelbagai pihak.
Walaupun pengendali makanan dan restoran masih tidak diwajibkan dan ia adalah secara sukarela untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), masih ada umat Islam yang keliru mengenainya.
Masakan tidak, ada sesetengah restoran pemiliknya merupakan non-Muslim namun pekerja di kaunter dan pelayannya pula Muslim. Apakah ia sudah boleh diyakini halalnya makanan yang disediakan berdasarkan keadaan itu?
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, masih ada lagi yang gagal memahami bahawa halal itu adalah satu kewajipan buat kaum Muslimin walaupun setelah merdeka selama 67 tahun.
"Untuk pengetahuan non-Muslim, kaum Muslimin diperintahkan untuk mencari yang halal seperti termaktub di dalam al-Quran bahawa seorang Muslim wajib memastikan sumber yang halal bagi makanan mereka.
"ALLAH SWT berfirman dalam ayat ke-168 surah al-Baqarah: "Wahai manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi ini daripada yang halal dan baik,” katanya di dalam Facebook miliknya pada Isnin.
Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW: "Tinggalkanlah perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Tambahnya lagi, Ibnu Rajab dalam kitab Jami’ al-Ulum menjelaskan, orang beriman berupaya untuk merasai keraguan atau syubhat sesuatu perkara melalui hati atau perasaan tidak tenteram mereka terhadapnya.
Oleh sebab itu ahli akademik itu berkata, sekiranya kita tidak tenteram dengan sesuatu produk atau restoran, maka tinggalkanlah ia.
"Ini kerana menjaga makan adalah sebahagian daripada urusan agama juga.
Beliau kemudiannya memetik ayat ke-51 surah al-Mukminun: "Makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh.”
Dr Ahmad Sanusi menasihatkan umat Islam agar berhati-hati dalam menyuapkan makanan yang menjadi darah daging kita semua.
Menurutnya, seorang tabi’in, Yusuf Ibnu Asbat menceritakan bahawa iblis tidak mengganggu hamba yang sibuk beribadah sekiranya makanan yang dimakan mereka itu kotor kerana makanan tersebut sudah cukup untuk merosakkan seseorang Muslim dari luar dan dalamnya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Jaringan Industri dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menjelaskan, galakan kepada premis makanan untuk mendapatkan sijil halal amat penting.
"Maka ini akan membahayakan kesihatan pengguna dan pengunjung," katanya.
Atas dasar itu katanya, kerajaan menerusi Jakim telah memperkasakan SPHM untuk memastikan makanan yang dijual itu halal, bersih dan selamat untuk rakyat Malaysia.
"Data juga menunjukkan bahawa pengusaha atau peniaga dan premis milik bukan bumiputera adalah lebih ramai peratusannya yang memohon sijil halal Malaysia berbanding peniaga Melayu Muslim.
"Ia membuktikan bahawa sijil halal Malaysia diyakini oleh semua pihak tanpa mengira agama sehingga prosesnya juga telah dipermudahkan oleh pihak Jakim.
"Saya menyeru supaya kita berpandangan positif bagi memastikan agenda Malaysia Madani dapat dilaksanakan dengan cemerlang," ujarnya.