UAE beri vaksin polio kepada 460,000 kanak-kanak di Gaza

Iklan
Kanak-kanak ini menerima vaksin polio di Khan Yunis, Gaza pada 5 September lalu. Foto AFP

DUBAI - Pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menyelesaikan pemberian vaksin polio ke atas 460,000 kanak-kanak di Semenanjung Gaza dalam tempoh lapan hari pertama sejak kempen pemvaksinan bermula, lapor Sputnik yang memetik Agensi Berita Emirates (WAM) pada Ahad.

Secara keseluruhan, seramai 640,000 kanak-kanak di Semenanjung Gaza dirancang akan menerima vaksin polio.

Iklan
Iklan

Menurut agensi itu, pemvaksinan sedang dijalankan di 150 pusat oleh lebih 2,000 petugas perubatan.

Kempen pemvaksinan polio di Semenanjung Gaza bermula pada 1 September, dan dijalankan secara bersama dengan pertubuhan kemanusiaan dari UAE, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), UNICEF serta Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat.

Iklan

UAE sebelum ini memperuntukkan US$5 juta untuk kempen pemvaksinan itu.

Pada Julai, Kementerian Kesihatan Gaza mengisytiharkan wilayah itu sebagai kawasan wabak polio, memetik konflik yang berlarutan sebagai punca utama penyebaran penyakit itu.

Iklan

Israel pada Sabtu mengesahkan bahawa ia akan membuka koridor kemanusiaan untuk petugas perubatan serta menetapkan kawasan selamat bagi pemberian vaksin dalam tempoh masa yang singkat. - Bernama-Sputnik