'Bau memang busuk, agak pelik'

Iklan
Sungai Skudai yang dipenuhi sampah sarap. Gambar kecil: Yusof, Zaiton

JOHOR BAHRU - Masalah pencemaran sungai sehingga menimbulkan bau busuk di beberapa lokasi di sekitar bandar raya Johor Bahru mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Tinjauan Sinar Harian di Taman Perling berhampiran Sungai Skudai di sini mendapati rata-rata penduduk di kawasan berkenaan mengakui ada terhidu bau busuk pada awal pagi.

Iklan
Iklan

Bagi penduduk Kampung Pasir, Yusof Dolah, 65, dia terhidu bau busuk berkenaan sekitar jam tiga hingga empat pagi.

"Memang ada tercium bau pagi tadi. Bau apa saya tak pasti, tapi macam bau tahi pun ada...memang busuk.

Iklan

"Baunya memang agak pelik, tak pernah selama saya hidup hidu bau seperti itu," katanya.

Bagi peniaga warung, Zaiton Mohamad, 48, berharap pencemaran berkenaan tidak sampai ke Sungai Skudai berhampiran.

Iklan

Katanya, sekiranya pencemaran bau berterusan, dikhuatiri akan mengganggu urusan perniagaan warung-warung di sini.

"Sekarang ini ada pencemaran bau macam yang viral di media sosial dan ia berlaku di Sungai Pandan dan juga beberapa sungai lain.

"Saya harap tak sampai ke sini lah pencemaran itu sebab ia akan ganggu pelanggan di sini. Saya berharap perkara ini diambil tindakan segera," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Persatuan Nelayan Taman Tampoi Utama, Yusoff Stam, 66, berkata, pihaknya ada menerima aduan berhubung perkara berkenaan daripada orang ramai.

Yusoff

"Pagi ini (Isnin), saya dapat aduan daripada penduduk tentang bau gas.

"Jadi saya harap ada tindakan daripada pihak berwajib supaya sungai kita ini tidak lebih tercemar," katanya.

Difahamkan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengadakan operasi pemantauan dan pemeriksaan di lapan lokasi di sekitar bandar raya ini pada Isnin.

Selasa lalu, beberapa kawasan di bandar raya Johor Bahru dilanda pencemaran bau kimia yang menyebabkan penduduk khususnya di Kampung Melayu Pandan merasa loya dan pening.

Situasi sama turut dilaporkan berlaku di tiga taman perumahan di Johor Bahru iaitu Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa.

JAS Johor mengesan tahap gas ammonia yang luar biasa tinggi di Sungai Pandan dan kawasan sekitar Kampung Melayu Pandan pada Rabu.