LARIAN IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024 yang berjaya menarik penyertaan seramai 10,000 peserta pada Ahad mencipta Malaysia Book of Records (MBR).
Penganjur acara itu menerima pengiktirafan melalui dua gelaran iaitu 'First full marathon on a highway' dan 'Longest marathon course on a closed highway'.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad (IJM), Datuk Lee Chun Fai berkata, pengiktirafan itu meningkatkan lagi prestij acara itu pada masa depan.
"Cabaran ini melambangkan komitmen kami untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan peserta.
"Kami berterima kasih kepada semua penaja, rakan kongsi dan juga komuniti atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pelepasan acara itu telah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Komitmen terhadap keselamatan dan impak kepada komuniti anjuran IJM dan Allianz Malaysia Berhad itu bermatlamat memberi pengalaman selamat dan menyeronokkan kepada semua peserta.
Penganjur termasuk dua anak syarikat IJM iaitu Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) (M) Sdn Bhd dan EC Pixels Asia juga bekerjasama rapat dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan polis bagi memastikan laluan serta larian selesa dan selamat.
Chun Fai memberitahu, cabaran edisi keenam itu menampilkan kategori maraton penuh sejauh 42.195 kilometer (km) dengan penambahan tahap baharu cabaran dan keterujaan.
Menurutnya, buat pertama kalinya, Lebuhraya NPE dan BESRAYA kendalian IJM digabungkan menjadi satu acara dengan menawarkan pengalaman larian unik dan pengalaman mendebarkan.
"Kami juga telah memperkenalkan kategori junior 1.5 km untuk memberi inspirasi kepada anak-anak muda," ujarnya.
Tambah Chun Fai, acara itu berakhir dengan cemerlang dan semua peserta dilihat mempamerkan keazaman dan ketahanan masing-masing.
"Peserta maraton penuh memulakan perlumbaan mereka di hadapan Sunway Pyramid pada jam 3 pagi merentasi Lebuhraya NPE melalui Templer dan Kuchai Lama, kemudian ke Lebuhraya BESRAYA di Jalan Pandan 1 sebelum kembali ke Sunway Pyramid.
"Di sepanjang laluan, peserta disajikan dengan pemandangan bandar raya menarik sekali gus menambahkan keseronokan dan memberi inspirasi kepada para peserta untuk sedaya-upaya mencapai catatan masa peribadi terbaik," jelas beliau.
Beliau berkata, acara itu telah menarik minat peserta daripada pelbagai latar belakang dengan 80 peratus terdiri daripada rakyat negara ini dan 20 peratus pula peserta antarabangsa.
Katanya, kategori lain yang dipertandingkan ialah kategori 21 km, 10 km, 5 km dan kategori Junior 1.5 km.
"Kepelbagaian kategori ini tidak hanya menarik minat peserta maraton yang berpengalaman tetapi juga peserta yang baru berjinak-jinak dalam dunia larian.