JIM tubuh siasatan khas siasat dakwaan wanita warga Singapura

Iklan
Ruslin

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menubuhkan satu siasatan khas berhubung kes seorang wanita warga Singapura mendakwa ditahan tujuh hari setelah terlibat dalam perselisihan dengan seorang pegawai imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, siasatan khas yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen itu ditubuhkan pada Jumaat lepas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk apa kesalahan wanita terbabit dan adakah pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk mematuhi proses serta peraturan ditetapkan.

"Kita akan lihat semua sudut untuk pastikan siasatan memberi keadilan kepada semua pihak.

Iklan

"JIM pada masa yang sama mengalu-alukan pelawat asing datang ke Malaysia dan mereka yang masuk ke Malaysia perlu patuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya selepas sidang akhbar kejayaan menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di sini pada Isnin.

Tambah Ruslin, buat masa ini JIM tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak dan berjanji akan menyelesaikan kes terbabit dalam masa terdekat.

Iklan

"Saya berjanji perkara ini akan diselesaikan dalam masa terdekat supaya memberi gambaran jelas. Saya tidak mahu satu insiden ini memberi imej tidak baik kepada negara," ujarnya.

Pada Ahad, berdasarkan laporan sebuah portal republik berkenaan, media tempatan melaporkan wanita yang dikenali sebagai Atalia Chua, 36, itu telah berkunjung ke negara ini pada jam 8.40 pagi, 7 Ogos lalu.

Wanita warga Singapura itu mendakwa dia ditahan selama tujuh hari oleh JIM sebelum dilepaskan pada 13 Ogos susulan terlibat dalam satu perselisihan dengan seorang pegawai di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).