Gaduh parkir: Pembekal sayur tidak mengaku salah sebabkan kecederaan, miliki senjata

Iklan
Seorang pembekal sayur yang tular dalam insiden perselisihan faham di parkir Program Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas dua pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan parah dan memiliki senjata berbahaya, minggu lalu. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang pembekal sayur yang tular dalam insiden perselisihan faham di parkir Program Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas dua pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan parah dan memiliki senjata berbahaya, minggu lalu.

Tertuduh, Wan Ken Fei, 28, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Azrol Abdullah.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa, Muhammad Aidiel Zulhilmi Mohammad Yusri, 24, menggunakan pisau yang boleh mendatangkan kematian.

Kesalahan didakwa dilakukan di PPR Pekan Kepong, Sentul, di sini, pada jam 5.30 petang, 4 September lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ken Fei dituduh memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu pisau pemotong sepanjang 32cm tanpa kebenaran atau maksud yang sah, di lokasi dan tarikh sama.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, boleh dihukum mengikut Seksyen 6(1) akta sama yang membawa hukuman penjara antara lima tahun hingga 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh kerana kes itu termasuk dalam pertuduhan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam, Mohamad Zaidi Othman yang mewakili tertuduh, merayu, mahkamah menggunakan budi bicara bagi membolehkan tertuduh diberi ikat jamin, atas alasan Ken Fei perly menanggung ibu bapanya.

"Dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri, malah sanggup menerima sebarang syarat tambahan seperti menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis, atau tidak mengganggu mangsa termasuk saksi pendakwaan.

"Sekiranya tertuduh tidak dibenarkan jaminan, perkara itu akan menimbulkan masalah buat ibu bapanya yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung,” kata peguam.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azrol tidak membenarkan tertuduh diberi ikat jamin dan menetapkan 11 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum itu, tular rakaman di media sosial berhubung kejadian tersebut, memaparkan pergaduhan antara dua lelaki sebelum berakhir dengan salah seorang daripadanya, cedera akibat diserang.

Pada Khamis minggu lalu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku disebabkan perselisihan faham berhubung halangan parkir di kawasan perumahan itu.