MACHANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melaksanakan pendekatan baharu dengan memasang Plat Rentan Bencana bagi membantu memudahkan operasi menyelamat ketika berlakunya bencana.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk (PA) Aminurrahim Mohamed berkata, plat terbabit akan dipasang di setiap rumah yang berisiko seperti warga emas tinggal bersendirian, orang sakit dan sebagainya.
"Pemasangan tersebut bagi memastikan bantuan segera dapat diberikan jika berlaku sesuatu bencana.
"Plat berkenaan juga dicipta untuk boleh dilihat dengan jelas pada waktu malam," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Apresiasi Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Reben Perkhidmatan Serta Kecemerlangan APM Negeri Kelantan di UiTM Cawangan Machang dekat sini.
Menurut beliau, pendekatan baharu itu akan memudahkan urusan kerana apabila kerja-kerja menyelamat selesai, plat itu akan diterbalikkan.
Ujarnya, dengan ini operasi menyelamat akan lebih mudah dilakukan serta cepat.