'Jangan roboh, tapi baik pulih'

Iklan
Kemudahan surau di Pekan Chengkau yang sangat penting untuk peniaga.

REMBAU - Peniaga Pekan Chengkau di sini terkejut apabila kemudahan surau awam yang disediakan di situ didakwa akan dirobohkan tidak lama lagi.

Mereka mendakwa perkara itu hanya diketahui selepas dimaklumkan oleh pihak kontraktor yang sedang membuat kerja-kerja membaik pulih tandas awam di situ.

Iklan
Iklan
Rosdi

Peniaga, Rosdi Ismail, 63, yang sudah berniaga di kedai Majlis Daerah Rembau sejak 10 tahun lalu berkata, kemudahan itu amat penting buat mereka kerana masjid terdekat kira-kira satu kilometer dari situ.

"Macam saya berniaga kedai makan dan biasanya jam 5 pagi sudah datang untuk membuat persiapan. Takkan saya nak balik ke rumah pula yang jauhnya kira-kira lima kilometer untuk solat.

Iklan

"Kedai saya ini tiada ruang untuk solat, jadi kemudahan surau awam itulah yang saya gunakan untuk solat Subuh, Zohor dan Asar," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Surau awam di Pekan Chengkau boleh membuatkan kira-kira lapan jemaah pada satu-satu masa.

Menurutnya, kemudahan berkenaan bukan saja digunakan oleh peniaga di pekan terbabit tetapi juga orang awam.

Iklan

Sehubungan itu, dia berharap kemudahan surau berkenaan tidak dirobohkan dan sebaiknya dibaik pulih.

"Ini kerana bekalan elektriknya telah lama dipotong. Walaupun begitu, kami tetap menggunakan surau ini dan pada satu-satu masa ia boleh memuatkan seramai lapan orang," katanya.

Abd Latif

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Abd Latip Alias berkata, kemudahan itu dibina pada 1990-an lagi dan telah beberapa kali dibaik pulih oleh penduduk.

Bagaimanapun katanya, bekalan elektriknya sudah lama dipotong dan beliau tidak mengetahui puncanya.

"Atas inisiatif penduduk, surau ini dan pintunya telah diganti baharu dua bulan lalu. Sekarang tiba-tiba kita dapat tahu nak dirobohkan pula.

"Sepatutnya ia dibaik pulih kerana kemudahan itu amat diperlukan oleh kira-kira 18 peniaga di situ.

"Saya dah maklumkan mengenai perkara ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kota untuk perhatian dan harapnya ada tindakan diambil," katanya.