PUTRAJAYA - Sindiket pemalsuan dokumen dan cap palsu yang didalangi warga Pakistan tumpas menerusi serbuan di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama satu bulan berjaya menahan tiga suspek warga asing termasuk seorang wanita.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan pertama pada Khamis lalu di USJ 1, Subang Jaya berjaya menahan seorang lelaki Pakistan dan seorang wanita India.
Katanya, pemeriksaan dalam kereta jenis Honda City dinaiki mereka menemui 20 keping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) disyaki palsu.
"Soal siasat kemudian membawa serbuan pada keesokan hari di Jalan Raja, Kuala Lumpur dan berjaya menahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu suspek lelaki warga Pakistan.
"Penahanan suspek dikenali sebagai Azhar merupakan dalang utama sindiket itu telah membawa rampasan 30 keping pelekat PLKS disyaki palsu yang dijumpai dalam kenderaan terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di sini pada Isnin.
Beliau berkata, pasukan operasi kemudian digerakkan ke kediaman suspek di Jalan Desa Bakti, Kuala Lumpur dan berjaya merampas 16 naskah pasport pelbagai negara disyaki palsu antaranya Malaysia, Mesir, Pakistan dan Yemen selain rampasan cap keselamatan keluar masuk imigresen, hologram serta mesin pencetak.
Katanya, siasatan mendapati kediaman itu menjadi markas suspek untuk melakukan kerja pemalsuan dokumen.
"Sindiket aktif sejak awal tahun ini menyasarkan warga asing khususnya dari negara sumber yang tidak memiliki dokumen atau tinggal lebih masa.
"Sindiket berurusan melalui media sosial dan menawarkan cap keselamatan imigresen, pelekat PLKS, pas khas serta perkhidmatan lesen kenderaan Pakistan dengan kadar bayaran RM100 sehingga RM1,000," katanya.
Tegasnya, kesemua suspek berusia 44 hingga 50 tahun telah direman 14 hari untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Dua suspek warga Pakistan ini memiliki PLKS yang sah dalam sektor tekstil. Kita akan kesan majikannya untuk sahkan sama ada suspek benar bekerja atau hanya gunakan kemudahan pas sahaja.
"Kita tidak tolak kemungkinan ada rangkaian sindiket lain," ujarnya.