‘Beri peluang guru dikenakan tindakan kembali berkhidmat’ - Pakar

Iklan
Anuar. Laporan Sinar Harian

SHAH ALAM - Sebahagian guru yang dikenakan tindakan tatatertib, diberhentikan atau meletak jawatan secara sukarela kerana menegur tentang sistem pendidikan negara sepatutnya diberi peluang kembali berkhidmat di sekolah.

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, beliau mengakui agak terkilan dengan situasi yang berlaku kerana segelintir daripadanya menyatakan perkara yang benar tetapi terpaksa menerima akibat hanya disebabkan lantang bersuara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari bahawa silibus pendidikan sebelumnya bermasalah dan bertindak melaksanakan Intervensi Kurikulum.

"KPM sendiri mengakuinya dan melakukan intervensi. Bagi saya, akhirnya guru-guru ini menjadi mangsa keadaan kerana menyuarakan pandangan sedemikian, saya simpati dengan mereka.

Iklan

"Ini kerugian buat negara kerana kita rasakan kita betul, tetapi akhirnya mengakui silibus itu memang bermasalah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan ketika sidang media Intervensi Kurikulum di Putrajaya baru-baru ini.

Iklan

Sinar Harian melaporkan seramai 122,062 daripada 448,113 murid Tahun 1 mengikuti program intervensi yang dijalankan selama tiga bulan bermula Ogos lepas.

Azman menjelaskan, program tersebut khusus untuk murid yang belum menguasai literasi dan numerasi pada tahap minimum.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 45,465 murid belum menguasai literasi, 13,669 murid tidak mencapai tahap penguasaan minimum numerasi manakala 62,928 murid belum menguasai kedua-duanya.

Bagaimanapun, Anuar yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan mengucapkan tahniah kepada KPM kerana melaksanakan Intervensi Kurikulum dan sudi berkongsi maklumat baharu berkaitan program terbabit sejak Mac lalu.

Tambahnya, ia merupakan satu pendekatan yang bagus apabila KPM mengambil inisiatif untuk berkongsi perkembangan terkini mengenai sistem pendidikan negara kepada orang awam secara terbuka.

"Ini memberikan peluang kepada masyarakat agar lebih memahami dan menghargai apa yang sedang dilakukan oleh KPM.

"Mereka mendapatkan maklumat rasmi, jelas dan tepat. Saya rasa ia mendekatkan KPM dengan masyarakat,” ujarnya.