KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Anak kedua daripada lima beradik tidak menyangka akan menerima Anugerah Sultan Ahmad Shah pada Istiadat Konvokesyen Ke-21 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, pada Isnin.
Muhammad Khalil Zuhairi Mohd Zaidi, 26, berkata, tujuan utama hanya untuk menimba ilmu dan bukannya untuk meraih sebarang anugerah.
Menurutnya, namun bersyukur kerana terpilih mendapat pengiktirafan itu di hadapan semua graduan UNIPSAS.
"Saya tidak sangka, tapi anugerah ini adalah satu rezeki buat saya," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Istiadat konvensyen itu disempurnakan Tengku Panglima Raja,Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi mewakili Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Lebih 400 penuntut telah diraikan dalam istiadat konvensyen terbabit, yang turut dihadiri Naib Canselor UNIPSAS, Professor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal, para pensyarah dan ibu bapa.
Muhammad Khalil Zuhairi yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunnah mahu terus menjadi guru di sebuah madrasah agama di Batu Enam, Terengganu.
"Sudah satu tahun mengajar al -Quran, sirah dan tahfiz di madrasah itu, jadi saya berhasrat untuk teruskan kerja di tempat sama," ujarnya.
Sementara itu, Mohd Zawavi dalam ucapan berkata, UNIPSAS pada masa akan datang akan terus berusaha memperkasa aspek akademik, pengantarabangsaan dan Penyelidikan.
Jelasnya, pihaknya akan menawarkan beberapa program pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) bermula disember tahun ini.
Mohd Zawavi menambah, UNIPSAS melihat pengajian secara ODL adalah satu keperluan pendidikan masa kini seiring dengan perkembangan teknologi komunikasi.
"Justeru, UNIPSAS akan menggiatkan usaha membantu pelajar pondok dan tahfiz di dalam dan luar negara untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi melalui APEL (Program Akredirasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu).
"Semoga langkah ini akan dapat menambah bilangan cerdik pandai Islam dan para ulama di Pahang khasnya dan Malaysia amnya," katanya.