KUALA LUMPUR - Sekumpulan atlet negara yang sedang berlatih di China sudah mula pulang ke tanah air ekoran penularan wabak koronavirus yang semakin serius di negara itu.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengesahkan perkara itu berkata, hanya ratu terjun, Cheong Jun Hoong yang masih berada di sana dan akan menyusul pulang selepas melalui beberapa piawaian sebelum kembali ke negara ini.
"Kerajaan Malaysia telah ambil ketetapan untuk membantu atlet yang ingin kembali pulang dan akan bantu secepat mungkin.
"Tapi bagi kes Jun Hoong kita sedang memuktamadkan. Arahan panggil pulang sudah pun dikeluarkan dan dia juga telah dimaklumkan cuma perlu melibatkan proses akhir,” katanya pada sidang media selepas majlis Luncheon Talk sempena Program Malaysia Future Leaders School Tier 3 di sini hari ini.
Syed Saddiq diminta mengulas perkembangan atlet negara yang sedang berlatih di China sama ada akan dipanggil pulang ke tanah air.
ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Penerjun negara sudah kembali dari China
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum menghantar atlet bertanding di Sukan Para ASEAN yang berlangsung di Manila, Filipina pada Mac ini.
"Sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, kita akan mendengar pandangan KKM terlebih dahulu. Kita sedang berurusan dengan mereka dan akan bertemu dengan KKM dalam tempoh terdekat ini.
"Selain KKM, KBS akan mendapatkan maklumat daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) bagi mengetahui situasi sebenar di sana," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai penahanan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini akan menjejaskan persiapan sukan itu ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Syed Saddiq yakin ia tidak memberi apa-apa kesan ke atlet kelak.