YIDE rai 40 alumni anak yatim bantu kelangsungan pengajian di IPT

Iklan
Nur Mohd Razali (tengah) bersama 40 pelajar IPT ketika majlis penyerahan sumbangan siswa di Restoran Ar Rawsha, Shah Alam pada Sabtu.

SHAH ALAM - Yayasan Islam Darul Ihsan (YIDE) meraikan seramai 40 siswa yang juga alumni anak yatim dengan memberi sumbangan kewangan bagi membantu kelangsungan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengurus Besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, sumbangan kewangan berjumlah RM500 seorang itu merupakan suntikan semangat kepada anak-anak yatim agar mendapat kecemerlangan akademik dan membina masa depan lebih cerah.

Iklan
Iklan
Nur Mohd Razali

"Sumbangan siswa ini merupakan sebahagian usaha berterusan YIDE untuk memperkasakan golongan sasar terutama dalam kalangan pelajar alumni anak yatim melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

"Kami berharap inisiatif ini dapat meringankan kos pendidikan anak-anak termasuk yuran pengajian, pembelian buku dan keperluan asas harian mereka,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan siswa di Restoran Ar Rawsha di sini pada Sabtu.

Iklan

Pada program itu, turut diadakan majlis penyampaian hadiah bagi pemenang tujuh kategori pertandingan video sempena kemerdekaan antara rumah kebajikan anak yatim seluruh negeri pada Ogos lalu.

Mengulas lanjut, tambah Nur Mohd Razali, YIDE turut mengalu-alukan pihak korporat dan individu menyertai usaha kebajikan tersebut melalui sumbangan dana atau penajaan program pendidikan anak yatim.

Iklan

Kata beliau, pihaknya yakin kerjasama dan sokongan pelbagai pihak akan memperluaskan impak positif terhadap program seumpama itu.

"Kami menyeru seluruh masyarakat untuk sama-sama menyumbang dalam apa juga bentuk kerana setiap sumbangan akan memberi makna besar kepada masa depan anak-anak yatim ini.

"YIDE terus komited memperkukuhkan program bantuan untuk golongan ini bagi membina kumpulan sasar yang lebih lestari.

"Antaranya, pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah yang bakal menempatkan 108 penghuni dengan fasiliti lengkap seperti asrama, surau, dewan serbaguna, pusat komersial dan gelanggang permainan,” kongsinya.

Menurut beliau, sehingga kini proses pembinaan mencecah 30 peratus dengan kos keseluruhan pembangunan sebanyak RM17 juta.

Jelasnya, sumbangan terkumpul sehingga kini berjumlah RM9.7 juta dan masih memerlukan sebanyak RM7.3 juta.

"YIDE menyeru orang ramai untuk menjayakan pembangunan kompleks ini agar ia dapat disiapkan menjelang Januari 2026.

"Untuk maklumat lanjut mengenai kefungsian dan inisiatif YIDE, orang ramai boleh layari www.yide.com.my,” katanya.

Sementara itu, penerima sumbangan yang juga penuntut German-Malaysian Institute, Anmol Begam Ahmad Nazir Shah, 19, berkata, pemberian berkenaan sangat bernilai buatnya bagi membantu pembiayaan pengajian.

Anmol Begam

Menurutnya, inilah masa dia sebagai alumni belajar bersungguh-sungguh dan membina kerjaya demi memberikan semula bantuan buat anak-anak yatim pada masa hadapan.