KAJANG - Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun meninggal dunia ketika sedang bermain bola sepak di padang Semenyih di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada seorang lelaki yang juga jurulatih sebuah kelab bola sepak pada jam 4.08 petang.
Iklan
Iklan
"Hasil siasatan mendapati semasa kejadian mangsa sedang dalam perlawanan bola sepak, tiba-tiba rebah, sebelum dibawa ke klinik berhampiran.
"Remaja tersebut kemudian dibawa ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada jam 2.02 petang hari yang sama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Naazron berkata, hasil bedah siasat oleh pakar perubatan mengesahkan mangsa mempunyai masalah kompilasi jantung dan asma.
"Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR)," katanya.
Beliau berkata, semua pihak terutama ibu bapa dinasihatkan membuat pemeriksaan kesihatan terhadap anak-anak terlebih dahulu sebelum menyertai mana-mana kejohanan atau aktiviti sukan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.