SHAH ALAM - Perkhidmatan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini bertambah baik kerana lebih sistematik dan waktu menunggu berkurang dari sebelum ini.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar JPJ Selangor sekitar jam 9 pagi pada Isnin mendapati, rata-rata pengguna berpuas hati dengan penambahbaikan yang dilaksanakan pihak berkenaan.
Pekerja swasta, Izulhelmi Idris, 25, berkata, perkhidmatan yang disediakan JPJ kini berbeza dengan situasi kali terakhir dia berurusan di jabatan berkenaan beberapa tahun lalu.
"Saya dah lama tak datang, sistem yang mereka naik taraf ini adalah inisiatif bagus sebab memudahkan pelanggan.
"Tak perlu ambil nombor secara manual macam dulu guna kertas, jimat penggunaan kertas juga.
"Bagi saya, mereka perlu kekalkan prestasi ini di semua kaunter JPJ seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Pekerja swasta, Andy, 47, pula berkata, sistem sedia ada kini sudah memadai tetapi jika boleh permohonan untuk lesen kenderaan barangan (GDL) juga disediakan dalam talian.
"Walaupun tunggu hampir satu jam, saya akui memang lagi cepat dari sebelum ini. Kaunter semua ada staf, nombor juga cepat bergerak.
"Tapi kalau boleh, pihak JPJ boleh teliti semula untuk naik taraf urusan pembaharuan GDL sebab kalau lesen biasa guna aplikasi MyJPJ saja, sangat mudah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Dzulkarnain Dasuki, 43, berkata, perkhidmatan nombor giliran dalam talian sangat memudahkan pengguna terutamanya bagi individu yang bekerja.
"Bila dah buat imbasan kod QR, kita boleh pergi mana-mana dulu. Macam saya baru balik kerja malam, sementara tunggu tadi saya pergi kantin dulu untuk makan sambil tengok pergerakan nombor menerusi aplikasi.
"Bila nampak angka (giliran) semakin dekat... baru saya bergerak semula ke kaunter untuk berurusan. Orang pun tak padat sangat sebab ada yang keluar dulu pegi makan dan sebagainya,” ujarnya.
Begitu juga, Khairol Anuar, 50, yang memaklumkan prestasi berkenaan perlu dikekalkan sampai bila-bila untuk memastikan perkhidmatan JPJ sentiasa efektif tanpa sebarang masalah.
Menurutnya, sekiranya perkhidmatan di kaunter, kios dan aplikasi tidak tergendala atau bermasalah maka tiada isu lain yang akan timbul.
Pesara, Ahmad Termizi Said, 66, pula berkata, laluan khas untuk warga emas turut memudahkan golongan sepertinya untuk berurusan di JPJ kerana tidak perlu menunggu lama.
Katanya, sebaik sahaja tiba, dia dan isteri mendapatkan nombor giliran, kemudian terus berurusan di kaunter dalam masa kurang setengah jam.
Sebelum ini media melaporkan, JPJ akan melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan kualiti penyampaian perkhidmatan di kaunter bermula Isnin.
Langkah itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan pelanggan dan masa menunggu yang lama.
Ketua pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, antara penambahbaikan yang dilaksanakan adalah penyediaan pegawai pemudah cara atau JPJ Assist bagi membantu pelanggan melakukan urus niaga yang boleh dibuat secara dalam talian.
Selain itu, JPJ turut menggalakkan pelanggan untuk memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ serta portal MySIKAP.
Pada masa sama, penambahbaikan Sistem JPJeQ juga dilaksanakan untuk membolehkan pelanggan mendapatkan nombor giliran melalui imbasan Kod QR dan menunggu di mana-mana sahaja sehingga nombor mereka dipanggil.