SEPANDAI-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Selicik-licik kartel yang ‘bersarang’ merompak dana dimiliki pencarum dan majikan, anasir ini juga berdepan nasib sama seperti si tupai apabila minggu lalu kegiatan mereka terbongkar dan ditumpaskan.
Meskipun ramai mengutus syabas dan menepuk tangan ekoran berita ini, tidak kurang juga ramai yang jarinya bertari ligat termasuk di ruang pojok mencari kesalahan, di hala mana atau siapa harus dituding.
Cerita sebenarnya, hasil risikan Bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AFEI) di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membawa kepada penahanan lebih 34 individu, mulai 3 September lalu yang dipercayai antara rangkaian kegiatan kartel ini.
Berbekalkan maklumat risikan, intipan dan bukti yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), operasi mencekup anasir ini mampu dilaksanakan dengan sesegera mungkin, sekali gus menyaksikan mereka terus diheret ke neraca perundangan.
Malah, tindakan proaktif, bukan reaktif seperti omongan dan tanggapan segelintir pihak terhadap PERKESO dalam kes penipuan didalangi kartel di utara Semenanjung ini tidak akan terhenti di sini.
Sebaliknya, ada proses lain yang sedang berjalan seiringan, demi memastikan pemburuan direncana sehingga ke lubang cacing sekalipun.
Pintu PERKESO dibuka seluasnya untuk SPRM menyiasat sehingga ke akar umbi, menilik setiap anggota PERKESO agar tiada ‘si kitol’ dalam organisasi yang menggalas amanah dana keselamatan sosial ini.
Selain memberi laluan kepada bidang kuasa SPRM, PERKESO tidak berpeluk tubuh sebaliknya sedang menjalankan siasatan dalaman untuk memastikan tiada anggota yang terpalit dengan kartel ini.
Sejak menggalas amanah sebagai Pengurus Unit Perubatan dan Pemulihan PERKESO pada 2001, sebenarnya tujuh rombakan dan penambahbaikan sudah dibuat berkaitan pengurusan hilang upaya, termasuk membabitkan fungsi Jemaah Doktor (JD), Jemaah Doktor Rayuan (JDR) dan Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS).
Menyingkap kembali sorotan kemajuan, rombakan pertama digagaskan seawal 2002, dengan Seminar Penilaian Keilatan dan Kecacatan Untuk Ahli Jemaah Doktor Rayuan PERKESO dijayakan bersama Kementerian Kesihatan bagi menyelaras kaedah penilaian serta penaksiran hilang upaya yang diadakan menerusi sidang jemaah doktor.
Akhirnya, satu garis panduan pertama, Garis Panduan Penilaian Kecederaan Traumatik/Penyakit Khidmat dan Keilatan dijadikan pegangan dalam proses penilaian serta penaksiran hilang upaya di PERKESO.
Memperkukuh mekanisme semak dan imbang, Jawatankuasa Penilaian Keputusan Jemaah Doktor turut diwujudkan supaya setiap kata putus daripada hasil penaksiran adalah bebas daripada sebarang unsur manipulasi serta penipuan.
Percaturan tersebut terbukti apabila kegiatan kartel di Seberang Jaya, baru-baru ini adalah yang keenam berjaya dikesan dan dilumpuhkan, selain di Lembah Klang, Pahang serta Kedah antara 2003 hingga 2021 sebelum ini.
Hakikatnya, PERKESO cakna bahawa anasir sindiket dan kartel sentiasa mengintai ruang bagi memanipulasi sistem sedia ada untuk merompak hak pencarum seperti diutarakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Bagaimanapun, enam teras utama (garis panduan Error, Evasion and Fraud (EEF) International Social Security Association) yang menjadi amalan terbaik dunia dalam mengekang aspek ralat, pengelakan dan penipuan bagi menutup segenap kelompangan harus diimbangi dengan keperluan untuk tidak menyulitkan proses meluluskan tuntutan faedah kepada pencarum.
Prinsip semua faedah dianggap sahih sehingga dibuktikan, sebaliknya masih menjadi sandaran demi memastikan setiap penyaluran bantuan dibuat secepat mungkin.
Jangan angkara nyamuk seekor, habis kelambu dibakar kerana natijahnya kelak bakal menyebabkan pencarum yang betul-betul memerlukan faedah PERKESO seakan ‘tersidai’ menanti bantuan tidak kunjung tiba.
Mungkin pada segelintir pihak, belum tersaksi pahit maung sebenar kehidupan sehingga faedah PERKESO menjadi talian akhir saat tulang belakang keluarga terkorban dalam kemalangan, individu hilang pekerjaan atau status diri menjadi cacat angkara bencana kerja.
Kes sahih sebegini tidak wajar dikesampingkan hanya angkara nila setitik yang merosakkan susu sebelanga.
Keutamaan PERKESO kekal tidak dinodai iaitu untuk membela kebajikan pencarum dan majikan walaupun sentiasa menjadi sasaran kartel atau sindiket yang cuba mengambil kesempatan dalam kesempitan golongan memerlukan.
* Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO