Trauma kepala air masih terasa

Iklan
Tragedi kepala air Gunung Jerai pada 18 Ogos 2021.

Iklan
Iklan

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi cuti persekolahan penggal kedua selama sembilan hari akan bermula Jumaat ini bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor manakala negeri-negeri lain sehari kemudian.

Anak-anak yang bersekolah sudah pasti tidak sabar menantikan saat ini, sementara ibu bapa ada yang sudah mengatur pengisian menarik agar masa cuti dimanfaatkan sepenuhnya.

Iklan

Tidak ketinggalan buat mereka yang telah menempah tiket percutian semata-mata mahu meluangkan masa bersama keluarga.

Trend terkini, aktiviti perkhemahan menjadi tumpuan dan ikutan termasuk membawa anak yang masih kecil.

Iklan

Apa pun perancangannya, pastikan ia mengambil kira faktor cuaca dan aspek keselamatan. Ini kerana kita sering kali mendengar kes lemas ketika berkunjung ke lokasi berisiko ketika cuti sekolah.

Tambahan pula, cuaca yang kerap hujan sekarang menambah risiko bahaya. Perlu diingat, kes membabitkan banjir kilat atau kepala air selalu dilaporkan media.

Terbaharu Sabtu lalu, insiden kepala air menjejaskan percutian pengunjung di Lubuk Jung, Sungai Sedim, Kedah setelah air naik mendadak akibat hujan lebat selama beberapa jam.

Kejadian itu menyebabkan khemah pengunjung yang dipasang di tepi sungai musnah dilanda arus deras dan tular di media sosial.

Pada Sabtu juga, kejadian kepala air turut berlaku di lokasi terkenal di Yan iaitu Air Terjun Seri Perigi dan Titi Hayun susulan hujan lebat.

Tragedi hitam kepala air tiga tahun lalu di tempat sama masih segar di ingatan kerana penulis terlibat secara langsung membuat liputan di lokasi kejadian.

Enam mangsa terkorban akibat tragedi kepala air Gunung Jerai, 18 Ogos 2021, selain menyebabkan 2,000 kediaman di daerah Kuala Muda dan Yan, terjejas.

Hampir setahun selepas itu, negara sekali lagi dikejutkan dengan insiden kepala air yang mengorbankan tiga penduduk Kampung Iboi, Baling.

Mangsa ialah seorang wanita bersama menantu yang sedang hamil serta anak lelakinya. Rumah mereka turut dihanyutkan arus deras bersama sisa kayu, kenderaan serta harta benda lain.

Kejadian pada 4 Julai 2022 itu turut mengakibatkan tanaman dan ternakan musnah, beberapa buah rumah lenyap dan ratusan kediaman lagi terjejas.

Ketika membuat liputan di lokasi, perasaan trauma masih terasa dan jelas tergambar pada wajah mangsa.

Setahun selepas itu, pada 2 Julai 2023 insiden lebih mengejutkan berlaku di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu apabila 10 mangsa termasuk sembilan sekeluarga dihanyutkan kepala air sewaktu berkelah.

Dalam kejadian dua minggu lalu pula, beberapa kenderaan mengalami kerosakan dan ada yang dihanyutkan kepala air di Air Terjun Telaga Tujuh, Pulau Langkawi. Limpahan air turut mengenai kawasan letak kereta di Langkawi Skybridge.

Pada hari yang sama di Perak, muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting di Ulu Slim pecah, mengakibatkan 175 mangsa terpaksa dipindahkan, selain 21 orang terperangkap di Taman Eko RISDA dan hanya berjaya diselamatkan oleh bomba pada keesokan hari.

Kejadian luar jangka seperti ini boleh dielakkan jika kita sebagai pengunjung, membuat persediaan awal selain menambah pengetahuan mengenai lokasi yang akan dikunjungi.

Sebaiknya, semak ramalan kaji cuaca. Jika cuaca tidak mengizinkan, pilih lokasi percutian selamat yang jauh dari sungai atau air terjun.

Bagi keluarga yang memiliki anak di bawah umur, sebolehnya tingkatkan aspek keselamatan, pantau pergerakan mereka serta beri pendedahan tentang risiko yang mungkin wujud di lokasi yang ingin dikunjungi.

Tidak terhad dengan hanya memilih aktiviti luar yang boleh dilakukan bersama keluarga, malah ketika ini banyak pusat indoor dibuka untuk beriadah.

Sebagai persediaan, ibu bapa juga boleh mengajar anak-anak mengenai langkah keselamatan yang harus diambil jika berdepan kecemasan di kawasan berdekatan sungai.

* Siti Zubaidah Zakaraya ialah wartawan Sinar Harian Kedah