Isu sijil halal: Teresa Kok hadir di Bukit Aman

Iklan
Teresa tiba di Bukit Aman pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tiba di Bukit Aman di sini pada Selasa untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya berkait isu sijil halal.

Beliau tiba di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu pada jam 9.42 pagi dan masuk ke Bukit Aman bersama peguam Syahredzan Johan pada jam 9.45 pagi.

Iklan
Iklan

Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, Teresa hadir untuk memberi keterangan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Terdapat beberapa saksi lain yang akan dipanggil antaranya pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan ditentukan kemudian.

Iklan

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Razarudin berkata, prosedur operasi standard (SOP) siasatan babit 3R (agama, raja, kaum) akan dijalankan setelah laporan polis diterima.

Iklan

Tambahnya, laporan yang diterima polis ini berikutan rasa ketidakpuasan hati individu termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Kata Razarudin, walaupun kebebasan memberikan pendapat itu dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan namun terdapat had yang perlu dipatuhi.

PDRM menasihatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang akhirnya boleh mencetuskan kegentaran awam dan mengapi-apikan antara kaum.

Sebelum ini, Teresa dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Menurutnya, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.