PASUKAN sepak takraw Politeknik Malaysia melakukan kejutan menewaskan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada final regu sepak takraw Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (2024).
Pada perlawanan akhir regu, pemain Politeknik B yang terdiri daripada Syafiq Mustakim Md Saad, Muhammad Iman Hakimi dan Muhammad Syahir Izzran menewaskan pemain UPM B yang diwakili Najmi Syafiq Anuar, Kahirul Hafifi Tajudin dan Muhammad Haikal Huzaimi dengan keputusan 15-13, 15,13.
Pengurus pasukan Politeknik Malaysia, Mohd Tajudin Ahmad menyifatkan kejayaan paling manis buat mereka kerana ia merupakan emas pertama yang diraih dalam acara tersebut sejak menyertai temasya berkenaan.
Menurutnya, semua pemain yang diturunkan berjaya memberikan tekanan kepada lawan biarpun sedar UPM antara pasukan pilihan dalam acara regu sebelum ini.
"Walaupun terpaksa berdepan dengan tentangan yang sengit daripada semua pasukan dalam acara sepak takraw ini, saya bersyukur kami dapat menggenggam dan membawa pulang emas buat kali pertama dalam kejohanan SUKIPT ini.
"Pencapaian emas ini umpama magis buat pasukan Politeknik Malaysia yang sebelum ini belum pernah merasai pingat emas, dan saya berbangga dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan semua pemain," katanya pada petang Isnin.
Jelas Mohd Tajudin, kejayaan tersebut diharapkan mampu menjadi pemangkin kepada atlet-atlet lain untuk memberikan segala-galanya pada pentas SUKIPT kali ini.
Sementara itu, pasukan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pula berjaya membawa pulang pingat emas untuk acara beregu selepas menewaskan pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan keputusan 15-8, 15-10 pada final.
Dua pemain terbaik dinobatkan pada acara sepak takraw SUKIPT 2024 iaitu Muhammad Iman Hakimi dari Politeknik Malaysia dan Mohamad Haizam Huzairi Saipul Nizam dari UPNM yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM200.