Kilang seri kaya dikesan guna logo halal tidak sah

Iklan
Pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping memeriksa produk seri kaya di sebuah kilang di Taman Glenview, Kamunting pada Isnin.

TAIPING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mengambil tindakan terhadap sebuah kilang menghasilkan seri kaya yang menggunakan logo halal tidak sah.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan terbabit dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KDPN Cawangan Taiping kira-kira jam 10.45 pagi di kilang memproses makanan di Taman Glenview, Kamunting dekat sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas produk akhir mendapati terdapat logo halal pada bungkusan seri kaya terbabit sementara pemilik perniagaan pula gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

"Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana disyaki telah menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

Iklan

"Dalam operasi itu juga sebanyak 65 unit produk seri kaya yang siap dan 2,000 unit bekas plastik yang tertera logo halal yang tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan dan dokumen berkaitan telah disita dengan nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM452.25," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kamalludin berkata, produk yang dihasilkan kilang tersebut dipercayai untuk edaran jualan di sekitar negeri Perak dan Pulau Pinang.

Iklan

Menurutnya, kes disiasat di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.

Jelasnya, hukuman denda tidak melebihi RM500,000 boleh dikenakan ke atas pertubuhan perbadanan dan denda sehingga RM1 juta melibatkan kesalahan berulang jika sabit kesalahan.

Begitu juga individu yang boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama jika sabit kesalahan manakala hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika kesalahan berulang.

Beliau menegaskan KPDN Perak memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.