KOTA BHARU - Bekas Senator, Muhamad Mustafa, 66, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini pada 11.20 malam tadi dipercayai akibat komplikasi jantung.
Anak Allahyarham, Mahabbatamminni Muhamad, 30, berkata, bapanya yang mengalami masalah jantung sejak dua tahun lepas mengalami demam dan dirawat di hospital berkenaan sebelum kesihatan semakin merosot minggu lepas.
Iklan
Iklan
"Sebelum ini beliau kata nak 'balik kampung', hendak 'jumpa Rasulullah' sebab sudah lama tidak ke sana (Makkah), beliau sudah beli tiket menunaikan umrah dan sepatutnya 29 September ini berangkat ke Makkah," katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Selasa.
Muhammad dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dari 2017 hingga 2020 dan pernah menjadi Ahli Parlimen Ketereh (1999-2004) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit (2008-2013).
Sementara itu, jenazah Muhammad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Jannah, Kampung Huda, Kubang Kerian pada 10.30 pagi tadi, bersebelahan dengan pusara isterinya, Allahyarham Azizah Ishak yang meninggal dunia pada 2022.
Sebelum itu, solat jenazah diimamkan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Masjid Al-Huda, Kampung Huda pada 10 pagi. - Bernama
Artikel Berkaitan