Shila Amzah siapkan diri, sertai satu lagi program nyanyian di China

Iklan
Shila akan bertanding di China untuk program 'Singing With Legends' musim keenam. Foto Instagram Shila Amzah

PENYANYI popular Shila Amzah sedang giat mempersiapkan dirinya untuk menyertai satu lagi rancangan realiti nyanyian di China, 'Singing With Legends' musim keenam, tidak lama lagi.

Rancangan 13 episod yang melibatkan artis lama dan baharu itu sedang berlangsung di Wuxi serta Shanghai, dekat sini, dan giliran Shila dijangka dalam bulan September ini.

Iklan
Iklan

Shila, 34, atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah yang sebelum ini pernah menjuarai program nyanyian 'Asian Wave' pada tahun 2012 dan menyertai pertandingan 'I Am A Singer' berkata, fokusnya kini adalah untuk memastikan dia cukup bersedia bagi menghadapi pertandingan tersebut dari segi fizikal dan nyanyian.

"Sekarang memang setiap hari saya buat latihan kecergasan dan nyanyian, selain memberi fokus kepada kesihatan dalaman, memandangkan saya baru sahaja melahirkan anak kedua yang kini berusia empat bulan.

Iklan

"Saya cuba (latihan kecergasan) setakat termampu, saya harap latihan sejak dua bulan lepas cukup untuk menghadapi pertandingan ini nanti," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pelantun lagu Memori Tercipta dan Patah Seribu itu juga tidak mahu meletakkan sasaran kedudukan yang tinggi sebaliknya hanya menyasarkan untuk sampai ke peringkat akhir pertandingan tersebut.

Iklan

"Saya di China ini selalunya memang sasarkan untuk ke akhir sahaja, tidak mahu tetapkan untuk mesti menjadi juara, sebab saya sedar yang saya baru lepas bersalin. Lagipun, tidak mahulah letak 'stres' pada diri sendiri, saya mahu nikmati perjalanan ini, ini pengalaman terbaharu saya.

"Apa yang lebih menarik, kali ini saya ditemani suami. Dengan adanya dia (suami), peminat di Malaysia boleh melihat sedikit sebanyak perjalanan saya di sini," katanya.

Beliau juga berharap penyertaannya dalam program tersebut menjadi permulaan yang baik buat kerjaya seninya di Malaysia dan China selepas beberapa bulan berehat.

Sementara itu, seorang penuntut universiti di sini Alice Wang, 21, teruja dengan penyertaan Shila dalam rancangan realiti nyanyian itu dan berharap penyanyi itu dapat melakukan yang terbaik.

"Sudah agak lama kami tidak mendengar apa-apa tentang Shila. Penyertaannya dalam program ini boleh melonjakkan lagi populariti dan saya percaya ramai peminat di sini merindui Shila," katanya.

Semalam, Shila melalui akaun Instagramnya mengumumkan bahawa dia akan menyertai pertandingan nyanyian di China dan dalam hantaran tersebut, penyanyi itu turut berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan perjalanan baharunya. - Bernama