Tak sampai 24 jam naik pangkat, anggota APM meninggal dunia

Iklan
Napi (kanan) menerima sijil kenaikan pangkat daripada Aminurrahim sempena Majlis Apresiasi Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Reben Perkhidmatan Serta Kecemerlangan APM Negeri Kelantan.

PASIR PUTEH - Tidak sampai 24 jam menerima kenaikan pangkat, seorang anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas selesai menjalani latihan bola sepak.

Allahyarham Napi Mat Jusoh yang meninggal dunia pada usia 54 tahun menerima kenaikan pangkat dari Leftenan Muda (G 10) ke Leftenan (G 09) yang disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk (PA) Aminurrahim Mohamed sempena Majlis Apresiasi Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Reben Perkhidmatan Serta Kecemerlangan APM Negeri Kelantan pada Isnin.

Iklan
Iklan

Allahyarham yang juga seorang guru subjek Sejarah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam di kawasan padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal.

Isteri Allahyarham, Nazleen Abdullah, 49, tidak menyangka kejadian berkenaan kerana suaminya merupakan seorang yang aktif bersukan dan tiada sebarang penyakit serius.

Iklan

Menurutnya, suaminya menjalani latihan bola sepak bersama rakan sepasukan untuk menyertai satu perlawanan beberapa hari lagi.

"Allahyarham juga aktif membimbing pelajar dalam sukan takraw, catur dan dilantik sebagai pengadil dalam beberapa sukan di SMK Gaal," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Alor Pasir pada Selasa.

Allahyarham Napi (kanan) melakukan latihan sebelum majlis bersama Muhammad Firdaus.

Iklan

Bercerita lanjut, Nazleen berkata, suaminya seorang bapa penyayang dan sangat rapat dengan anak-anak malah pada pagi sebelum menerima sijil dan pemakaian kenaikan pangkatnya anak keduanya, Muhammad Firdaus diajak untuk 'berlakon' sebagai Ketua Pesuruhjaya APM bagi menghilangkan rasa gugup.

"Dia sangat teruja untuk menerima sijil dan kira-kira jam 7.39 pagi, dia melakukan latihan dengan memberi beberapa arahan kepada Muhammad Firdaus," katanya.

Jelasnya lagi, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan bahawa dia akan 'pergi' dan tiada tanda pelik ketika bersama keluarga.

Bagaimanapun kata Nazleen, pada hari kenaikan pangkatnya itu, Allahyarham keluar dari rumah dan menghidupkan enjin motosikal tanpa menoleh atau melambai ke arahnya dan anak-anak.

"Saya fikir mungkin dia terlalu gugup dan tidak tenang kerana majlis yang akan berlangsung itu," katanya lagi.

Nazleen juga bersyukur kerana rakan-rakan suaminya turut memaklumkan Allahyarham yang juga pemeriksa kertas mata pelajaran Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seorang yang sangat memberi komitmen dalam tugas.

"Alhamdulillah, ramai gembira dan berpuas hati dengan tanggungjawab yang dilakukan," katanya.

Tambahnya, anak perempuan mereka, Nur Farahin, 18, turut mengikut jejak langkah Allahyarham yang meminati pasukan beruniform dan pernah bersama dalam APM dari 2019 hingga 2021 sebelum menyambung pelajaran di sebuah pusat Matrikulasi di Pulau Pinang.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Muhammad Farhan, 27, yang bekerja di Ipoh bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada keluarga memaklumkan mengenai kejadian itu.

Nazleen (tengah) bersama empat anak melihat butang kenaikan pangkat yang diterima suaminya sehari sebelum pemergiannya.

Katanya, kali terakhir bertemu bapanya pada hari perkahwinannya 3 Ogos lalu, namun setiap hari mereka akan berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

"Saya ada menghubunginya melalui panggilan video pada Sabtu lepas dan Allahyarham bersembang seperti biasa dan tiada sebarang perubahan.

"Papa ceria sahaja dan seperti biasa sejak kami kecil dia akan memberi pesanan supaya tidak tinggal solat," katanya.