Kajian dedah persepsi positif belia terhadap warisan budaya Malaysia

Iklan
Kajian mendedahkan golongan muda Malaysia mempunyai perasaan bangga terhadap warisan budaya negara, terutama pada produk kebudayaan, makanan dan tapak bersejarah. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kajian yang dijalankan sekumpulan ahli akademik tempatan baru-baru ini mendedahkan bahawa golongan muda Malaysia mempunyai perasaan bangga terhadap warisan budaya negara, terutamanya pada produk kebudayaan, makanan dan tapak bersejarah.

Tinjauan dalam talian yang mengumpul data daripada 391 responden berusia 18 hingga 30 tahun mendapati daripada tiga domain yang diukur, domain estetik merekodkan markah tertinggi, mencerminkan penghargaan terhadap warisan budaya dan kepelbagaian di negara ini.

Iklan
Iklan

Kajian bertajuk 'Portrays of a Country’s Image: A Case Study of Malaysian Youth's Perceptions towards Malaysia' itu diketuai oleh Dr Tan Sing Pei, Dr Azhar Abdul Rahman, Prof Madya Dr Chin Yee Mun, Dr Phua Yeong Nan dan Lee Jenn Yuan.

Ia bertujuan mengukur persepsi generasi muda terhadap negara dengan meneliti pelbagai domain seperti fungsi, estetik dan nilai normatif, dan pengumpulan data dilakukan menerusi platform tinjauan dalam talian oleh Tun Tan Cheng Lock Center, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis.

Iklan

Kajian yang dijalankan dari 16 hingga 31 Ogos lepas bersempena dengan sambutan Hari Malaysia itu menekankan bahawa belia Malaysia melihat aspek estetika negara secara positif dengan subdomain makanan dan masakan menerima skor tertinggi iaitu 4.29.

"Berdasarkan hasil kajian ini, golongan muda di Malaysia berbangga dengan tapak bersejarah, produk kebudayaan serta makanan dan masakan. Responden menghargai keindahan dan sumbangan budaya dan ketamadunan," menurut kajian itu.

Iklan

Bagi domain fungsi yang mencatatkan 3.24 mata, responden secara keseluruhan mendapati Malaysia sebuah negara yang sesuai didiami dengan sistem pendidikan dan penjagaan kesihatan yang baik, selamat dan berusaha membangunkan kemudahan infrastruktur.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan dari segi ekonomi dan politik yang menunjukkan responden mempunyai pandangan kurang positif terhadap kestabilan politik Malaysia yang mungkin disebabkan situasi dihadapi negara antara 2020 hingga 2022, menyaksikan Malaysia mempunyai tiga Perdana Menteri.

Kajian mendapati domain normatif merangkumi perlindungan alam sekitar, tanggungjawab sosial antarabangsa dan hak sivil perlu diberi perhatian kerana merekodkan markah terendah iaitu 3.18.

"Walaupun responden secara amnya selesa dengan usaha Malaysia dalam memupuk hak asasi universal dan menggalakkan kebaikan bersama, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, terutamanya dalam perlindungan alam sekitar dan hak sivil," menurut kajian itu.

Dalam pada itu, kajian berkenaan turut menggariskan kekuatan Malaysia dalam perpaduan kerana orang muda di negara ini menghargai kewujudan keharmonian antara masyarakat etnik dan agama berbeza.

Responden dari Sarawak khususnya memberikan markah tertinggi dalam domain estetik, mencerminkan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan fabrik sosial di Malaysia.

Bagi meningkatkan skor persepsi rakyat Malaysia, beberapa langkah perlu diambil misalnya menggiatkan promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan, meningkatkan standard industri kreatif di negara, seperti filem, seni tradisional dan animasi digital. - Bernama