KDNK Malaysia diunjur berkembang lebih 5.0 peratus - Penganalisis

Iklan
KDNK Malaysia diunjur berkembang lebih 5.0 peratus pada 2024.

DUA bank pelaburan telah mengekalkan unjuran mereka untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia melebihi 5.0 peratus untuk 2024, mengaitkannya dengan persekitaran ekonomi domestik yang menyokong dan pemulihan dalam permintaan luaran.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan jangkaannya untuk pertumbuhan 5.0 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024.

Iklan
Iklan

Ia berkata, unjuran itu disokong oleh pasaran buruh yang lebih sihat dan dasar domestik dijangka terus memperkukuh perbelanjaan pengguna.

Menurut HLIB, pasaran buruh Malaysia dijangka kekal stabil pada sepanjang tahun, didorong oleh peningkatan aktiviti pelancongan, eksport yang diperluas dan inisiatif berkaitan pekerjaan di bawah pelbagai pelan induk negara.

Iklan

Pada Julai lepas, pasaran buruh Malaysia terus bertambah baik, dirangsang oleh pertumbuhan ekonomi positif dan prestasi eksport yang lebih baik.

"Penurunan bilangan penganggur meningkat pada asas bulan ke bulan (-0.3 peratus; Jun: -0.1 peratus) tetapi menyederhana pada asas tahun ke tahun (-2.7 peratus; Jun: -2.8 peratus).

Iklan

"Kadar pengangguran kekal stabil pada 3.3 peratus (Jun: 3.3 peratus),” kata HLIB dalam nota penyelidikan.

Tenaga buruh berkembang dengan kukuh dengan pertumbuhan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus dan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 1.7 peratus, mencerminkan keyakinan berterusan dalam pasaran pekerjaan dan ekonomi.

Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh kekal stabil pada 70.4 peratus.

Sementara itu, CIMB Research mengekalkan unjuran KDNK pada 5.2 peratus bagi tahun itu, didorong oleh jangkaan pemulihan dalam permintaan luaran disebabkan teknologi global.

Jangkaan itu juga mencerminkan perbelanjaan domestik yang kukuh, disokong oleh pelaburan kukuh dan perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan pada separuh kedua 2024.

CIMB berkata, pertumbuhan volum perdagangan pengedaran Julai sebanyak 5.5 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada 4.9 peratus pada suku kedua 2024, menunjukkan prospek positif untuk aktiviti perkhidmatan pada awal suku ketiga 2024.

"Peningkatan dalam ketibaan dan perbelanjaan pelancong (separuh pertama 2024: +28.9 peratus; +50.8 peratus tahun ke tahun), bersama dengan jualan kenderaan bermotor yang memberangsangkan (separuh pertama 2024: 7.2 peratus), mungkin akan menyokong keseluruhan sektor perkhidmatan pada separuh kedua 2024, menyokong anggaran sektor perkhidmatan 2024 sebanyak 5.5 peratus,” kata CIMB Research. - Bernama