Wah Ahmad Fayhsal tidak gembira dengan draf MoU peruntukan pembangkang

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal pada sidang akhbar pada Selasa. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] "Saya telah diberikan arahan agar tidak memberikan apa-apa kenyataan kepada media berhubung sebarang keputusan memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan pembangkang yang dikemukakan Kerajaan Perpaduan,” kata ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ahli Parlimen Machang itu bagaimanapun, mengakui dirinya tidak gembira dengan draf MoU berkenaan.

Iklan
Iklan

"Di negeri Melayu pembangkang dianaktirikan, kawasan yang mana mereka memilih PN sebagai wakil rakyat mereka, berbanding negeri DAP yang diberikan layanan macam anak emas,” katanya pada sidang akhbar di ibu Pejabat Bersatu pada Selasa.

Jelasnya, kenyataan rasmi akan dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam masa terdekat.

Iklan

Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat petang semalam bagi membincangkan maklum balas terhadap draf MoU mengenai peruntukan pembangkang yang dikemukakan kerajaan. Bagaimanapun tiada apa-apa kenyataan dibuat gabungan pembangkang itu.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah peruntukan tidak dinyatakan memandangkan terma bagi draf MoU itu masih belum dipersetujui PN.

Iklan

Fadillah berkata, jumlah itu hanya akan diumumkan selepas keseluruhan terma terkandung dalam MoU itu dipersetujui kedua-dua pihak.

Sebelum ini, PN dilapor mendedahkan beberapa syarat didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan sebagaimana dituntut.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, secara keseluruhan terdapat tujuh syarat digariskan bawah draf MoU yang diterimanya pada 6 Ogos lalu.