Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam jadi gagasan baharu KSN

Iklan
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika menyampaikan amanat pada Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 di Puspanitapuri pada Selasa. Foto Bernama

SHAH ALAM - Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam menjadi gagasan baharu Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang memberi tumpuan kepada lima Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR).

Lima BKR itu adalah Penghayatan Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan dan Memperkasakan Sinergi Awam dan Swasta.

Iklan
Iklan

Ia juga diperkukuhkan dengan 20 strategi dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan termasuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Menurut Shamsul Azri, sebahagian besar BKR itu bersifat mudah dicapai dan ada juga yang memerlukan pelaksanaan dalam tempoh jangka masa sederhana serta panjang.

Iklan

"Untuk merealisasikannya, kita dalam sektor awam tidak boleh bergerak sendiri, sebaliknya akan menggunakan pendekatan diperkenalkan sebagai AI Strategy atau Associated and Integrated Strategy.

"Associated ini menekankan konsep whole-of-nation membabitkan sektor swasta manakala integrated menekankan konsep whole-of-government yang membabitkan integrasi antara jabatan kerajaan," katanya ketika berucap pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN 2024 di Dewan De' Seri Endon, Puspanitaripuri, Putrajaya, pada Selasa.

Iklan

Tambah beliau, pendekatan tersebut boleh dilakukan dengan membangunkan kerjasama strategik dan sinergi antara agensi yang terlibat, perkongsian sumber secara optimum serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

Ujarnya, ia boleh dilaksanakan dengan mengetengahkan inisiatif yang memberikan pulangan kepada nilai wang yang dilaburkan dan memastikan setiap inisiatif yang hendak dilaksanakan menyumbang secara langsung kepada matlamat Ekonomi Madani.

"Terdapat dua pemboleh daya utama yang membantu memeta kejayaan reformasi perkhidmatan awam selain daripada inisiatif yang dilaksanakan iaitu pemantauan, pengukuran dan penilaian prestasi serta komunikasi total.

"Saya ingin mencadangkan supaya diwujudkan satu bentuk penganugerahan, pengiktirafan atau penghargaan sebagai pemangkin kepada kementerian dan penjawat awam dalam meningkatkan kecekapan dan melaksanakan penambahbaikan.

"Namakanlah seumpama Anugerah Kecemerlangan Reformasi Perkhidmatan Awam atau apa-apa nama yang bersesuaian.

Saya yakin, ini akan menyuntik lagi semangat untuk terus komited meningkatkan prestasi dan penyampaian perkhidmatan, memenuhi jangkaan rakyat dan membina masa depan yang lebih baik bagi rakyat Malaysia," katanya.