KUALA LUMPUR - Armada Bersatu memohon Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Majlis Raja-Raja untuk membatalkan atau menangguhkan urus niaga penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, penangguhan ini dituntut sehinggalah perkara-perkara berikut dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang tiada berkepentingan.
Beliau mendakwa terdapat banyak permasalahan melibatkan tata kelola korporat dan kementerian yang telah mencemari nama baik Malaysia khususnya dalam sektor pengangkutan dan logistik melibatkan entiti milik kerajaan seperti MAHB dan Malaysia Airlines Berhad (MAS).
"Armada Bersatu ingin dengan rendah diri menyembah takzim memohon ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja untuk membatalkan atau menangguhkan urus niaga penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
"Sehinggalah perkara-perkara berikut dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang tiada berkepentingan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersatu di sini pada Selasa.
"Ini terkait soal penswastaan MAHB dan juga sama ada Kementerian Pengangkutan mempunyai penglibatan terus dalam perkara ini (walaupun perkara ini telah dinafikan oleh Menteri Pengangkutan pada 11 Mac 2024).
"Armada mahu PAC untuk membuat perbandingan dengan percubaan pertama penswastaan MAHB yang juga melibatkan Global Infrastructure Partners (GIP) pada tahun 2019 dan semua pemain (korporat dan kementerian) yang terlibat dahulu dan sekarang.
"Masalah-masalah teknikal yang dihadapi oleh Malaysia Aviation Group (MAG) disebabkan kekurangan jurutera-jurutera penerbangan setelah berpindah kerja ke SIA Engineering Company (SIAEC)," katanya.
Wan Ahmad Fayhsal juga mendesak PAC melakukan kajian forensik untuk menentukan sama ada unsur-unsur sabotaj wujud di dalam transaksi pelaburan SIAEC yang melibatkan Khazanah.
"Siasatan ke atas Kementerian Pengangkutan juga perlu dibuat dalam urus niaga ini memandangkan kesan operasi yang semakin mudarat berkenaan kemampuan Malaysia Airlines untuk memainkan peranannya sebagai syarikat penerbangan nasional.
"Audit tata kelola keselamatan pintu keluar masuk negara jika pengurusan lapangan terbang kita dimiliki pegangannya sebanyak 30 peratus oleh pihak asing dari luar negara. Ini kerana urus niaga penswastaan MAHB kepada GIP-BlackRock ini akan membolehkan mereka mempunyai pegangan dan campur tangan dalam pengurusan yang menguasai hampir 40 buah lapangan terbang negara termasuk lapangan terbang yang diguna pakai oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"Audit kawal selia korporat terhadap proses tata kelola pemilihan syarikat Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) untuk memegang saham di MAHB.
"Audit kawal selia korporat ke atas peranan yang bakal dimainkan oleh syarikat asing terhadap strategi dan pengurusan MAHB di masa hadapan," katanya.
Jelasnya, audit ini untuk memastikan tidak ada campur tangan Kementerian Pengangkutan di dalam urus niaga dan operasi MAHB memandangkan satu-satunya badan kawal selia ekonomi penerbangan iaitu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bakal digabungkan dengan CAAM (Civil Aviation Authority of Malaysia) dan akan berada di bawah kuasa mutlak Menteri Pengangkutan.
Mengulas lanjut, beliau berkata audit ke atas urus niaga penswastaan jual beli saham MAHB yang dimiliki oleh KWSP dengan memberi perincian bagaimana ia dilakukan dan berapakah nilai anggaran pulangan kepada KWSP jika ini diteruskan.
"Armada Bersatu menyeru supaya institusi dana milik orang Melayu dan Bumiputera iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan institusi dana pencen milik penjawat awam Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk tidak menjual saham mereka dalam MAHB kerana ianya merugikan kerana harga jualan saham hasil penswastaan MAHB amat rendah.
"Analisis daripada pakar-pakar menunjukkan nilai saham MAHB adalah melebihi RM16 bagi satu unit saham, dan sekiranya dijual pada paras yang rendah iaitu RM11, orang Melayu dan penjawat awam akan berdepan kerugian berbiliion ringgit. Ini satu bentuk pengkhianatan bukan saja kepada orang Melayu, Bumiputera malah kepada rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya.
ends