35 PATI warga Indonesia termasuk tekong ditahan bersesak dalam bot

Iklan
Sebahagian PATI yang ditahan duduk berhimpit di bawah dek bot tanpa sebarang dokumen pengenalan diri sah.

SABAK BERNAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk tekong yang cuba menyeludup keluar secara haram pada Selasa.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, semua mereka itu ditahan di kedudukan 6.9 batu nautika barat daya Pantai Sekinchan, pada jam 12.12 pagi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima maklumat daripada komuniti maritim bahawa terdapat sebuah bot nelayan asing sedang bergerak keluar dari perairan Sekinchan dalam keadaan mencurigakan.

"Berdasarkan maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi untuk mengesan vesel tersebut.

Iklan

"Setiba di lokasi, pasukan operasi mendapati sebuah bot nelayan Indonesia tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak dalam keadaan gelap lantas menahannya setelah 10 minit diekori," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Semua mereka ditahan semasa duduk berhimpit di bawah dek bot tersebut tanpa sebarang dokumen pengenalan diri sah," ujar beliau.

Iklan

Katanya, bot bersama kesemua PATI ditahan sebelum dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007) dan juga Akta Imigresen 1959/63.

Sehubungan itu, katanya, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan pengawasan dan sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau kecemasan NG999 untuk maklum balas segera.