PUTRAJAYA - Seorang peserta terjunan ekstrem sempena Putrajaya Base Jump berdepan detik cemas apabila payung terjunnya tersangkut pada tiang lampu bangunan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat semasa hendak melakukan pendaratan.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, penerjun Jepun Yasuhiro Kubo tergantung pada tiang lampu sisi bangunan tersebut lebih 10 minit sebelum diselamatkan pengurusan acara dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya.
Mangsa yang mempunyai pengalaman lebih 32 tahun dan telah melakukan 12,000 terjunan dalam pelbagai disiplin itu tersangkut pada aras 21 bangunan setinggi 40 tingkat itu selepas dipercayai ditolak angin ke arah dinding bangunan berkenaan sejurus melakukan terjunan.
Tinjauan di tempat kejadian mendapati pengurusan acara menggunakan gondola, alat yang digunakan oleh kontraktor untuk membersihkan cermin bangunan bagi menurunkan mangsa.
Lelaki berusia lewat 50-an yang dilihat tidak mengalami sebarang kecederaan itu diberikan rawatan awal oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sebelum dibawa ke hospital Putrajaya.
Bagaimanapun, Yasuhiro yang dilihat ceria sambil melambai-lambai rakan penerjun lain selain berswafoto ketika berada di dalam gondola semasa proses menurunkannya enggan memberikan sebarang komen ketika ditemui.
Yasuhiro antara 34 peserta asing daripada sembilan negara yang mengambil bahagian dalam acara Putrajaya Base Jump anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena 25 tahun penubuhan Putrajaya dan sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj, Tengku Aina Tengku Ismail Shah dalam satu kenyataan berkata, pihak penganjur membuat persiapan rapi bagi berhadapan sebarang insiden selepas menyedari sukan ekstrem itu sememangnya berisiko.
Beliau berkata, pasukan teknikal juga turut mendapat bantuan daripada pasukan keselamatan yang sentiasa bersiap siaga di tapak penganjuran antaranya pasukan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Hospital Putrajaya.
Atas faktor itu, katanya, Yasuhiro telah berjaya diturunkan dengan cepat hasil tindakan pantas pasukan teknikal acara serta bomba yang berada di lokasi kejadian.
"Setelah dibawa ke hospital Yasuhiro disahkan hanya mengalami kecederaan ringan dan akan pulang ke Tokyo pada malam ini," katanya. - Bernama