KUALA LUMPUR - Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengumumkan untuk bertanding jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu dalam pemilihan Oktober ini.
Keputusan itu diambil selepas beliau melepasi had usia untuk terus memegang jawatan dalam Armada Bersatu.
"Saya akan naik ke takuk satu lagi MPT Bersatu, saya akan bertanding di situ bersama rakan-rakan lain, kami dah habis umur," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersatu di sini pada Selasa.
Pada 16 Ogos 2020, Wan Ahmad Fayhsal menang dalam pemilihan sebagai ketua sayap Bersatu dan menjadi individu yang pertama menyandang jawatan melalui pemilihan parti sejak penubuhan Bersatu.
Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Ketua Pemuda II Perikatan Nasional (PN) sejak penubuhan gabungan tersebut pada pertengahan tahun 2020.
Pada 11 Mac tahun lalu, Wan Ahmad Fayhsal mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini pada pemilihan akan datang.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, keputusan tersebut diambil susulan beliau telah melebihi umur yang sah untuk menerajui sayap parti itu.
Dalam pada itu, Ahmad Fayhsal turut mengumumkan barisan yang akan bertanding dalam bagi jawatan kepimpinan Armada.
Armada turut menamakan Akmal Zahin Zainal Zahir sebagai calon Ketua Armada Bersatu dan Mohd Faiz Rahmad sebagai calon naib ketua Armada Bersatu.
"Kita juga akan menyokong kepimpinan Pemuda yang dah jadi wakil rakyat ke peringkat lebih tinggi, kita akan bantu dalam pemilihan parti," katanya.