Melaka anjur 71 program sempena sambutan Maulidur Rasul

Iklan
SEBANYAK 71 program disusun sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran kerajaan negeri Melaka. Foto JAIM

SEBANYAK 71 program dianjurkan bagi memeriahkan sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka dengan tema 'Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI' yang bermula 5 September hingga 15 Oktober depan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah itu sebanyak 20 program dianjurkan sempena Karnival Semarak Cinta Rasul, sambutan Maulidur Rasul (11 program) serta Maulid Arbain (40 program).

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara program yang dirangka sempena Karnival Semarak Cinta Rasul ialah ceramah agama perdana, forum perdana dan bicara agama yang berlangsung di Dataran Pusat Islam Melaka.

"Selain itu, program berbentuk pertandingan turut dianjurkan seperti Pertandingan Grand Qasidah, Pertandingan Muallaf Kreatif, Ihtifal Cinta Rasul Kanak-Kanak Tadika dan pertandingan memanah.

Iklan

Beliau berkata, program lain yang turut dianjurkan ialah Al Azim Berselawat Bersama Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid di Masjid Al-Azim, Program Khatam Al-Quran Perdana Sempena Hari Malaysia dan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al-Ghaffar, Jasin dan Konvoi Imarah Masjid bermula dari Masjid Al-Azim sebelum bergerak ke Masjid Nurul Huda, Kampung Baru Nyalas, Asahan.

Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul pula akan diadakan bermula di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit sebelum bergerak melalui Taman Bandaraya ke Jalan Bukit Piatu-Jalan Bukit Baru dan berakhir di Dataran Pusat Islam Melaka, tambah beliau.

Iklan

Rahmad berkata Anugerah Khas Maulidur Rasul juga dianjurkan bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan agensi atau syarikat yang memberi sumbangan kepada kemaslahatan dan pembangunan ummah serta pengiktirafan kepada urus tadbir pengurusan organisasi yang terbaik dan cemerlang.

"Majlis penyampaian anugerah itu akan diadakan pada Majlis Penutup Karnival Semarak Cinta Rasul di Dataran Pusat Islam Melaka 17 September dan ia akan disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

"Kategori baharu bagi anugerah yang diperkenalkan pada tahun ini ialah Anugerah Pemegang Sijil Pengesahan Halal Negeri Melaka melibatkan produk industri kecil dan sederhana," katanya. - Bernama