Warga emas ditemukan tinggal rangka dalam rumah rajin ke surau, ajar mengaji - Jiran

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Seorang warga emas ditemukan meninggal dunia dalam keadaan jasadnya sudah tinggal rangka di sebuah pangsapuri di Kepong di sini, Khamis lalu dikenali penduduk kerana rajin ke surau untuk solat berjemaah selain mengajar kanak-kanak mengaji.

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Nurina, 37, berkata, lelaki berusia 74 itu seorang yang pendiam kerana jarang bertegur setiap kali terserempak di hadapan rumahnya.

Iklan
Iklan

"Saya akan selalu lalu depan rumah dia untuk hantar anak ke rumah pengasuh, tetapi untuk beberapa tahun ini tidak melihatnya dan tak pernah pula bau (mayat).

"Mungkin asbab amalan dia, aibnya dilindungi atas amalan yang sering dibuat sewaktu ada di dunia ini,” katanya ketika ditemui, pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, Exco Keselamatan Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan, Ab Razak Isa berkata, mayat mangsa ditemukan selepas dimaklumkan anaknya bahawa sudah lama tidak bertemu dengan bapanya.

Keadaan rumah seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia dan ditemui hanya tinggal rangka, di sebuah pangsapuri di Kepong, pada Khamis lalu.

"Pihak JMB mengambil tindakan memecahkan pintu rumah tersebut. Apabila kami masuk, keadaan rumah bersepah dan lebih mengejutkan apabila terdapat rangka manusia terbaring di ruang tamu.

Iklan

"Ketika itu lampu terbuka dan kipas juga masih berpusing. Saya tengok sekeliling duit milik arwah yang diletakkan berhampiran tilamnya masih ada, jadi saya rasa tiada unsur jenayah,” katanya.

Tambah Ab Razak lagi, arwah tidak pernah lewat membuat bayaran yuran penyelenggaraan sebelum kali terakhir dibuat pada September 2021.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan mayat seorang lelaki warga emas ditemui di sebuah pangsapuri di Kepong, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak mangsa selepas dia pergi ke kediaman itu untuk berjumpa dengan ayahnya.

Lelaki warga emas itu ada penyakit darah tinggi dan pernah kena strok.

Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).