Enam rekod kebangsaan kayak pecah di SUKIPT 2024

Iklan
Khairul Naim Zainal (tengah) dari UiTM meraih pingat emas dalam acara K1 lelaki termasuk memecahkan rekod kebangsaan di SUKIPT 2024. Foto Media Fotografi KK Malaysia

SEBANYAK enam rekod kebangsaan berjaya dipecahkan dalam sukan kayak temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 berlangsung di Tasik Timah Tasoh, Perlis.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, tiga daripada enam rekod kebangsaan itu sudah berusia 10 tahun dengan Siti Nurqasrina Syahzanani terlebih dahulu meleburkannya dalam acara TK2 wanita dengan catatan baharu 57.29 saat (s) di peringkat saringan pada Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memadam rekod lama kebangsaan yang dicipta oleh Nur Amirah Anisah Abdul Kadir dari Johor dengan masa 58.435s sewaktu Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014.

Atlet kedua yang mencipta rekod baharu kebangsaan ialah Nik Afiq Nik Mazli mewakili Kolej Polytec dalam acara TK1 lelaki dengan masa 42.97s di peringkat saringan satu, juga pada Sabtu lalu, mengatasi catatan lama 46.857s dilakukan oleh Muhammad Ridzuan Abdul Aziz sewaktu Sukma Perlis 2014.

Iklan
Gandingan UPSI, Hassan Al Basri Ali dan Muhammad Naiem Shahmi Mahusin berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara K2 lelaki termasuk meraih pingat emas SUKIPT 2024. Foto Media Fotografi KK Malaysia

Gandingan Marina Muzaffa dan Aisyah Farhanah Azwan (UiTM) mencipta sensasi apabila meleburkan satu lagi rekod kebangsaan berusia 10 tahun dalam acara K2 wanita menerusi catatan 43.19s di peringkat akhir, mengatasi masa lama milik Syahida Asyiqin Rusli-Anis Unaizah yang dilakukan sewaktu Sukma Perlis 2014.

Baki tiga rekod baharu kebangsan dipecahkan di pentas SUKIPT 2024 melalui Khairul Naim Zainal dari UiTM dalam acara K1 lelaki (37.64s), Syahida Asyiqin Rusli mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) acara K1 wanita (47.17s) dan gandingan UPSI, Hassan Al Basri AliMuhammad Naiem Shahmi Mahusin acara K2 lelaki (36.40s).

Iklan

Menurut KPT, kejayaan tersebut membolehkan atlet-atlet yang memecahkan rekod kebangsaan berkenaan layak berkongsi RM20,000 secara bersama menerusi insentif kecemerlangan yang ditetapkan.

"Kecemerlangan ini membuktikan pentas SUKIPT 2024 berada pada landasan tepat dengan dijangka lebih banyak rekod kebangsaan ataupun catatan baharu temasya dalam acara-acara sukan lain mampu tercipta dalam baki saingan sebelum melabuhkan tirai pada 14 September ini," katanya pada Selasa.