Thailand, Malaysia teguhkan komitmen perkukuh hubungan dua hala

Iklan
Paetongtarn Shinawatra. Foto AFP

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand yang baharu dilantik, Paetongtarn Shinawatra menegaskan komitmennya untuk menjalin kerjasama erat dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan tumpuan mengukuhkan kerjasama merentasi sektor-sektor utama.

Paetongtarn, 38, menerima ucapan tahniah daripada Anwar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand ke-31, menzahirkan hasratnya untuk bekerjasama rapat dengan beliau semasa perbualan mereka menerusi panggilan telefon.

Iklan
Iklan

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar dan Kerajaan Malaysia atas persahabatan yang erat dan hubungan baik sebagai jiran.

"Saya menyampaikan hasrat untuk menjalin kerjasama erat dengan beliau bagi meneruskan momentum dan dasar yang dirintis antara Perdana Menteri Anwar dan bekas Perdana Menteri Srettha Thavisin serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya perdagangan, pelaburan dan pelancongan,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Selasa.

Iklan

Kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk melaksanakan inisiatif ‘Six Countries, One Destination’ bagi meningkatkan sektor pelancongan di rantau ini, katanya.

Tahun lepas, Malaysia menduduki tempat pertama sebagai rakan dagang terbesar Thailand dalam ASEAN, dan pelancong Malaysia juga mencatat jumlah tertinggi di antara pelancong asing yang melawat Thailand.

Iklan

Sementara itu, kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk bekerjasama dalam mempromosikan keamanan dan pembangunan di kawasan sempadan, yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan rakyatnya.

Paetongtarn berkata, bahawa Anwar turut mengundang beliau untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia secepat mungkin.

Paetongtarn, perdana menteri termuda Thailand mengetuai 35 menteri Kabinet yang mengangkat sumpah jawatan pada Jumaat.

Beliau dijangka menyampaikan kenyataan dasarnya pada Khamis, menandakan permulaan rasmi pentadbirannya. - Bernama