MELIHAT gelagat anak-anak memegang dan membelai arnab, kambing, burung unta, kura-kura dan pelbagai haiwan lain yang dibiarkan bebas berkeliaran pasti membuatkan sesiapa sahaja terhibur.
Semua itu boleh dilakukan di Reban PokLeh yang mengetengahkan konsep petting zoo di mana pengunjung dapat membelai dan memberi makan kepada haiwan.
Terletak di Ayer Baloi dan kira- kira 13 kilometer dari bandar Pontian, Reban Pokleh yang dimiliki Mohd Solehin Ramlan, 35, kini menjadi tarikan pelancongan baharu di daerah tersebut.
Tidak hairanlah jika zoo mini berkenaan tidak pernah sunyi dengan kehadiran kanak-kanak yang terdiri dari pengunjung tempatan dan luar Johor.
Mohd Solehin berkata, anak-anak akan berasa selesa kerana haiwan di zoo mini itu istimewa terutama burung unta dan kambing yang merupakan haiwan jinak dan mesra pengunjung.
"Di sini kami memaparkan nama setiap haiwan bagi membolehkan pengunjung terutama kanak-kanak mengenali dan mempelajari sesuatu daripada kunjungan mereka.
"Pengunjung boleh membelai binatang tersebut selain boleh memberikan makanan yang dijual di sini,” ujarnya.
Sambutan menggalakkan
Berkongsi mengenai kisah tercetusnya idea untuk membina zoo mini tersebut, Mohd Solehin berkata, ia bermula daripada hobinya yang suka membela ayam.
Katanya, aktiviti itu dijadikan aktiviti di masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Pelbagai baka induk ayam dari negara China, Belanda, Jerman dan Turkiye dibeli sejak 10 tahun lalu. Apabila jumlah ayam yang dibela makin bertambah, saya terfikir untuk membuka sebuah zoo mini.
"Ia membolehkan orang ramai datang bersama keluarga dengan anak-anak untuk memberi makan kepada haiwan dan meluangkan masa bersama,” jelasnya.
Tambah Mohd Solehin, sejak dibuka dua tahun lalu, zoo mini berkenaan menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung seterusnya membantu merancakkan sektor pelancongan di Pontian.
"Pontian dikenali sebagai lokasi pelancongan budaya dan alam semula jadi. Lokasi terkenal antaranya Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Pulau Kukup.
"Apabila pengunjung luar datang ke daerah ini, mereka akan singgah ke Reban Pokleh,” katanya.
Sementara itu, pekerja zoo tersebut, Zaini Ibrahim, 55, berkata, bilangan pengunjung ke Reban PokLeh akan meningkat setiap kali cuti sekolah.
"Kanak-kanak suka melihat ayam yang bebas berkeliaran di sini. Suasananya seperti di kampung dulu-dulu, dan ada yang beri makan.
"Selain itu, ada juga haiwan seperti landak yang jarang ditemui turut berada di Reban PokLeh,” ujarnya.
Bagi pengunjung tempatan, Farid Zulkifli, 30, berkata, dia berpuas hati dapat membawa anak melihat dan membelai pelbagai haiwan dengan harga tiket serendah RM5.
"Bagi saya, amat berbaloi kerana anak-anak berpeluang mendekati pelbagai haiwan seperti kambing, ayam dan arnab. Tidak perlu bersusah payah untuk keluar daerah untuk berkunjung ke zoo mini,” katanya.