BARU-baru ini, isu sijil halal menjadi hangat setelah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengulas tentang cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil tersebut.
Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Semalam, beliau hadir di Bukit Aman pada jam 9.42 pagi untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berikutan satu kertas siasatan dibuka.
Ramai pihak memberikan pandangan dan kritikan, namun Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP hanya menyampaikan pandangannya sebagai Ahli Parlimen mengenai dasar kerajaan.
Manakala Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas tindakan Teresa itu yang sebenarnya memalukan negara, yang disifatkan beliau sering mengganggu gugat keharmonian.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menasihatkan pihak yang ada cadangan dan prihatin berkaitan pensijilan halal, supaya membawa perkara itu untuk dibincangkan dan diteliti dalam mesyuarat.
Kenyataan Perdana Menteri ini dilihat lebih harmoni dan juga merupakan adalah kenyataan lebih selamat.
Ini kerana adalah amat penting untuk semua pihak menjaga sensitiviti agama dan kaum serta mengekalkan keharmonian di negara ini.
Negara kini berada dalam keadaan baik dari segi ekonomi dan politik, dan mendapat penghargaan dunia, oleh itu, isu-isu yang boleh merosakkan keadaan seperti ini perlu dielakkan.
Sememangnya tidak dinafikan sijil halal amat penting terutama kepada orang Islam kerana memudahkan untuk memilih kedai makan atau restoran yang diyakini halal dan kebersihannya.
Jika sijil halal ini dilihat dari sudut positif, ia sebenarnya memberi kelebihan dan nilai tambah kepada perniagaan tersebut.
Kedai makan yang memiliki sijil halal mampu untuk menarik lebih ramai pelanggan terutama masyarakat Melayu Islam.
Namun, apa pun hujah yang diberikan sama ada kedai tersebut ada sijil halal atau tidak, pengguna masih mempunyai pilihan untuk makan atau pilih kedai yang lain.
Peniaga yang bijak akan memikirkan soal jangka panjang, selain aspek keuntungan jangka pendek semata-mata.